Saturday, September 29, 2007

Hang Tuah dan Orang Melayu

Membaca kisah Hang Tuah, aku tak pasti apa yang perlu dibanggakan. Tapi, dikalangan masyarakat melayu, nama Hang Tuah ini seolah-olah melambangkan kepahlawanan dan impian terpendam peribadi yang ingin dimiliki oleh ramai jejaka. Pada ku hikayat Hang Tuah tidak lebih dari penonjolan seorang individu yang suka mengampu, tidak pandai meletakkan keutamaan di tempat yang tepat dan tidak bijak menyelesaikan serta mengatasi masalah-masalah yang dihadapi.

Dalam riwayat Hang Tuah diceritakan tentang tugas yang diberi oleh Sultan Melaka kepada Hang Tuah untuk meminang Tun Teja. Kalau dinilai dari tugas yang diberi, ia bukan membawa kepada satu kepentingan politik atau ekonomi atau apa jua yang dapat dikongsi oleh rakyat. Sebaliknya, penyalah gunaan wang serta kepercayaan rakyat untuk kepentingan peribadi saja. Kesanggupan Hang Tuah melakukannya mencerminkan sikap mengampu pemimpin untuk memperoleh kedudukan istimewa.

Setelah difitnah, Hang Tuah terus mati akal dan tidak mampu berfikir bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Tanpa menggunakan akal serta taqlid buta, Hang Tuah sekadar menerima keputusan Sultan yang sudah salah . Hang Tuah lebih rela dilihat sebagai "hero" untuk mengejar nama dan glamour dari mempertahankan hak-haknya. Ini mencerminkan sifat lemah semangat nya dan cepatnya dia berputus asa. Dia tidak mampu menguruskan dirinya sendiri sehingga perlu diselamatkan oleh seorang menteri yang sudah tua dan lebih arif. Masalah nya menjadi masalah orang lain sedangkan dia tidak berusaha apa pun untuk melakukan sesuatu atau mencari huraian kepada keadaan hidupnya.

Kesanggupan dia membunuh teman baiknya, Hang Jebat atas dasar mengampu sultan sungguh tidak munasabah. Dia tidak dapat berlaku adil dan bertindak mengikut emosinya. Dia lebih pentingkan dirinya sendiri dari orang lain. Dia sekadar fikirkan penerimaan orang atasan dari tanggung-jawabnya kepada masyarakat dan orang-orang yang meletakan harapan padanya. Walaupun ditegur dan disindir oleh Hang Jebat, dia tetap degil tidak mahu menerima perubahan. Mindanya tertutup kepada pembaharuan yang ingin dilakukan oleh Hang Jebat, sahabat baiknya. Fikirannya disempitkan oleh keinginan untuk mempertahankan kedudukannya saja.

Kata-kata Hang Tuah yang terkenal "Tak kan Melayu hilang di dunia". Tapi sekiranya orang melayu mengikut sikap Hang Tuah, walaupun terdapat orang melayu, tapi sudah hilang maruahnya. Yang tinggal apa yang kita lihat sekarang, orang-orang yang suka mengampu, suka menyimpan hasad dengki, pentingkan periuk nasi sendiri dan bila diberi jawatan, dia tidak amanah, tidak mahu belajar, tidak suka pada pembaharuan, ingin jalan pintas dan suka orang lain yang menyelesaikan masalah mereka. Banyak persamaan dengan riwayat hang tuah kan.


Jangan marah kepada peminat-peminat hang tuah. Anda tidak perlu setuju dengan pandangan ku ini. Aku lebih terpesona membaca kisah Laksamana Cheng Ho. Kebetulan akhir tahun lepas aku berkesempatan melawat Yunan, China, dan berkunjungan ke tempat kelahiran Laksamana ini dan membaca kisahnya. Kehebatan Laksamana Cheng Ho yang banyak dikaitkan dengan sejarah kesultanan Melaka, perlu dibaca dan dijadikan teladan.

No comments: