Saturday, September 29, 2007

Nak U-Turn pun mesti betul caranya

Aku membaca satu atikel di satu website untuk anak-anak Melayu. Ia mengisahkan tentang seorang remaja bertatoo yang ingin solat di mesjid dan mendapat teguran dari seorang tua jemaah mesjid. Atikel itu juga menyebut tentang seorang gadis yang merasa sukar diterima kerana sikapnya yang bebas dan suka bergaul dengan lelaki. Dia meraskan seolah-olah orang disekeliling seperti tidak faham perubahan dan keperluan zaman moden.

Melihat pada usia mereka, boleh lah difahamkan mengapa mereka merasakan begitu. Diperingkat usia begitu, memang sukar menyuluh kesalahan sendiri serta mengakui yang perbuatan sendiri yang silap. Sudah lazimnya, diusia muda, segala "tradisi" kalau boleh ingin ditentang habis-habisan tanpa perlu diselidiki terlebih dahulu. Tiada kesabaran untuk meneliti fakta-fakta yang ada. Slogan "bila nak game kalau gitu" menjadi pegangan.

Aku ingin berkongsi tentang sebuah hadith. Ia mengisahkan tentang seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Dia telah bertemu dengan seorang ahli ibadah dan menyatakan hasrat untuk bertaubat. Ahli ibadah itu berkata sudah terlewat sebab dosanya terlalu banyak. Dibunuhnya ahli ibadah tersebut tanpa banyak bicara, mengenapkan angka yang dibunuh menjadi 100.

Kemudian dia telah bertemu dengan seorang ahli ilmu. Ulama itu berkata, kalau dia ingin Allah terima taubatnya, dia perlu keluar meninggalkan kampung dan pergi belajar di sebuah kampung yang sangat jauh. Belum sempat dia sampai ke kampung tersebut, dia menemui ajalnya. Malaikat azab dan malaikat rahmat berebut untuk mengambil mayatnya. Allah turunkan seorang malaikat yang mengusulkan mereka ukur jarak antara kampung asal dan kampung yang dituju. Ternyata lebih dekat jarak kampung yang hendak dituju. Malaikat rahmat mengambilnya.

Bayangkan sekiranya dia masuk syurga nanti dan ditanya oleh ahli-ahli syurga apa amalan yang dia bawa sehingga boleh masuk syurga. Adakah dia akan jawab "Aku bunuh 100 orang" sebab itu yang telah dilakukan sepanjang hayatnya. Tentu jawapannya ialah "Aku membuktikan keikhlasan aku untuk bertaubat. Aku sanggup menempuh segala kesukaran merentasi padang pasir yang gersang seorang diri untuk menyahut perintah Allah. Aku meletakkan segala harapan dan tawakkal ku kepada Allah s.w.t. Itulah yang telah mendatangkan Rahmat Allah kepada ku sehingga aku dapat masuk syurga".

Bagi mereka yang telah melakukan bertimbun dosa yang besar-besar gunung, pintu taubat masih terbuka luas. Hanya janganlah sekadar menaruh harapan dosa akan diampunkan, tetapi berusahalah untuk membuktikan. Anggap segala kesukaran yang dihadapi sebagai saham untuk akhirat kelak. Jadikan hadith di atas sebagai motivasi diri.

Bagi mereka yang merasa tertekan kerana tidak "diterima", belajarlah dahulu untuk mengenali apa yang benar dan apa yang salah. Bila kita melakukan sesuatu yang diredhai oleh Allah, barulah Allah akan redha dengan kita. Nanti Dia akan buat orang lain juga suka dan redha serta menerima kita. Jadi, bila perbuatan kita tidak disenangi oleh orang lain, check balik samada perbuatan itu sesuai dengan syariat atau mengikut keinginan nafsu muda kita saja. Kalau pun tidak, jangan cepat-cepat "mengajar" orang lain cara kita. Kalau betul, kita dapat pahala, kalau salah, kita dapat dosa dan dosa orang yang mengikut cara kita pun kita kena share sama.

Berhati-hatilah. Belajarlah mengenal agama sendiri.

No comments: