Saturday, August 7, 2010

Al-Tathabbut

Kepentingan Mendapatkan Kepastian Dalam Menerima Sebarang Berita

Kepentingan mengesahkan sesuatu berita (al-tathabbut) adalah menjadi salah satu dasar dalam Islam. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Hujuraat ayat 6 yang berbunyi : “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan sesuatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu

Didalam kitab Asbabun Nuzul karangan Imam Jalaluddin As-Sayuthi, sebab turunnya ayat ini dicatitkan berhubung dengan kisah Rasulullah s.a.w yang telah mengutus Al-Walid Bin Uqbah untuk mengutip zakat dari satu kaum. Bagaimana pun, Walid bin Uqbah telah tidak menjalankan tugasnya dengan baik atas sebab-sebab tertentu; sebaliknya telah membuat laporan palsu kepada Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w telah menerima laporan Walid dan telah mengirim seorang lagi utusan untuk mendapatkan kepastian.

Ayat ini telah diturunkan untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya berlaku. Perbincangan berkisar ayat ini amat menarik kerana ada beberapa perkara yang perlu dikupas untuk mendapatkan kepastian. Pertama, kedudukan Walid bin Uqbah sendiri yang hidup sezaman dengan Rasulullah. Terdapat banyak hadith Rasulullah s.a.w di mana Rasulullah s.a.w sendiri memberi jaminan tentang kemulian para sahabat. Contoh dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Abu Dawud dan At-Tirmidzi yang berbunyi “Janganlah kamu memaki sahabat-sahabatku. Demi Allah yang diriku dalam genggaman kekuasaanNya, seandainya salah seorang diantara kamu mengirimkan emas sebesar bukit Uhud, ia belum mencapai (pahala) satu mud yang salah seorang sahabatku infakkan, bahkan setengah mud pun tidak.”

Persoalan yang timbul, adakah Walid bin Uqbah yang dikatakan “fasiq” dalam ayat tadi? Ulama berbeza pendapat tentang perkara ini. Bagaimana pun, apa yang dapat dirumuskan ialah para sahabat Nabi mempunyai tahap dan martabat yang berbeza. Keakraban mereka juga berbeza. Dengan itu tidak mustahil jika berlaku kesilapan. Bagaimanapun, kerana ayat seterusnya dalam surah Al-Hujuraat menyebut tentang kehadiran Rasulullah sa.w dikalangan mereka, maka kesilapan para sahabat ini akan cepat dibetulkan dan mereka (sahabat) akan bertaubat dan tidak mengulangi kesilapan mereka. Dengan itu, jaminan Rasulullah s.a.w tentang akhlak para sahabat adalah tepat dan benar.

Perkara kedua yang timbul berkisar ayat diatas ialah berkenaan apa yang dilihat sebagai “kesilapan” Rasulullah s.a.w yang mempercayai laporan yang diberikan yang menjadi sebab turunnya ayat. Perkara ini perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas iaitu “kesilapan” Rasulullah s.a.w dalam hal-hal urusan keduniaan bukanlah merupakan kesilapan akhlak atau pertimbangan yang kurang bijak (akal budi). Sebaliknya merupakan hikmah untuk mendidik manusia. Ini dijelaskan lagi dalam ayat seterusnya, ayat 7 di mana Allah menegaskan “..Jikalau dia (Nabi) mengikutmu dalam kebanyakan urusannya, nescaya menjadi susah kamu, tetapi Allah mengasihkan keimanan kepadamu dan menjadikannya perhiasan dalam hatimu dan membencikan kepadamu kekafiran, fasik dan kedurhakaan. Mereka itulah orang-orang yang cerdik”.

Dalam surah yang sama ayat 12 Allah telah berfirman “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan sangka-sangka (dugaan), kerana sebahagian prasangka itu ialah dosa dan janganlah kamu mencari-cari aib orang....”. Ayat ini menjelaskan lagi hikmah ayat tadi (ayat ke 6) dirangkumkan dalam surah yang sama. Terjadinya peristiwa tersebut kerana Allah s.w.t sebenarnya ingin menerangkan serta mengajarkan adab serta akhlak yang mulia kepada umat manusia.

Keperluan untuk mendapat kepastian tentang sesuatu berita atau perkara merupakan perintah yang menjadi dasar dalam epistemologi ilmu dalam perspektif Islam. Kebenaran bertaraf yakin barulah mencapai tahap ilmu yang sebenarnya. Ertinya, keyakinan yang masih ditahap syak, zann atau wahn masih perlu dipastikan sebelum boleh dijadikan sandaran.

Mengapakah Islam begitu menitik beratkan pembuktian sesuatu perkara? Ini kerana Al-Quran yang diturnkan kepada Rasulullah s.a.w merupakan kata-kata yang bukan saja menjelaskan perkara-perkara yang dapat dicerap oleh pancaindera, tetapi juga mengandungi kisah-kisah ghaib, peristiwa-peristiwa masa depan dan juga kejadian-kejadian masa lepas yang sangat sukar ditentukan oleh akal untuk menerimanya.

Oleh itu, manusia perlu dapat membezakan dengan tepat antara kebenaran Al-Quran dengan berita-berita lain. Penting untuk mengetahui ciri-ciri kebenaran Al-Quran dan seterusnya menyakini Al-Quran adalah sebenarnya haqq dan tiada keraguan lagi terhadapnya.

Selain itu, diri manusia itu sendiri masih menjadi misteri yang belum lagi dapat dihuraikan sepenuhnya oleh saintis serta bijak-pandai dari dahulu sehingga zaman canggih ini. Dengan itu, berbagai andaian dan prasangka akan terbit yang akan melahirkan tindakan-tindakan yang mengikut perkiraannya sendiri yang mungkin menjerumuskannya kepada perbuatan yang dianggap zalim serta melampau batas.

Keperluan membuktikan dahulu sesuatu berita atau perkara menjadi lebih jelas lagi melalui ayat berikut :
Dan mereka tidak mempunyai sesuatu pengetahuan pun tentang itu. Mereka tidak lain hanyalah mengikut prasangka. Prasangka tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran” (Al-Najm : 28)

Melalui ayat ini, ada tiga perkara utama yang perlu dijadikan landasan dalam menentukan sesuatu perkara atau berita

a) Pengetahuan (ilmu)
b) Prasangka
c) Kebenaran (haqq)



A) Pengetahuan (Ilmu)

Pengetahuan atau ilmu adalah sangat penting untuk diketahui maknanya secara tepat. Apakah yang dimaksudkan dengan ilmu. Menurut Abd Al-Jabbar, ilmu ditakrifkan sebagai kepercayaan yang memuaskan jiwa bahawa objek yang dipercayai itu adalah menepati perkara sebagaimana menurut realiti yang berlaku. Ini bermakna, ketepatan maklumat selaras dengan realiti. Itulah yang dikatakan ilmu.[1]
Prof Abdullah Hassan, seorang tokoh akademik, memberikan definasi ilmu sebagai apa saja yang bererti, bernilai dan berguna. Kamus Dewan pula mendefinasikan ilmu sebagai pengetahuan, kepandaian.[2]
Prof Syed Naquib Al-Attas mendefinasikan ilmu kepada dua bahagian. Pertama, ilmu itu adalah tibanya (husul) makna sesuatu objek ilmu ke dalam jiwa pencari ilmu; kedua sebagai sesuatu yang diterima oleh jiwa yang aktif dan kreatif, ilmu dapat diberikan sebagai tibanya jiwa (wusul) pada makna sesuatu objek ilmu.[3]

Para sarjana Muslim sepakat bahawa yang disebut kejahilan, keraguan, dugaan, dan spekulasi yang tidak memiliki asas- berserta ceroboh, lupa, tidur dan mati adalah sesuatu yang berlawanan ilmu pengetahuan.[4]

Dari pengertian ilmu yang telah diberikan, salah satu ciri ilmu itu mestilah yang benar. Ertinya, jika perkara itu adalah didasarkan kepada nas, maka syaratnya ialah mestilah dipastikan dengan dalil yang kukuh. Jika tidak didasarkan pada nas dan masih diragui, pembuktian harus menggunakan dalil-dalil ilmiah yang boleh diterima akal.[5]

Sekiranya maklumat yang diperolehi tidak benar, ia bukan sahaja menjatuhkan martabat ilmu, malah ia juga merosakkan ilmu dan boleh mengakibatkan kekacauan dalam pemikiran sesaorang dan juga masyarakat.[6]

Ilmu yang benar dan diyakini akan mendatangkan rasa puas dan tenang. Sesuatu fakta yang wujud tidak semestinya benar sekiranya fakta itu tidak diletakan di tempatnya yang betul. [7] Sesuatu benda, maklumat, fakta, idea atau konsep sesungguhnya tidak bermakna bagi pemiliknya jika dia tidak dihubungkan, secara betul, dengan perkara benar yang lain dalam suatu sistem. Bagi kaum Muslim, sistem itu tentulah yang terpancar dalam pandangan hidup Islam dan meliputi akidah, akhlak dan syariatnya.[8]
Tindak tanduk manusia baik diperingkat peribadi atau masyarakat umumnya bertolak daripada ilmu, bukan hawa nafsu ataupun kepentingan sempit peribadi, kumpulan sosial, ekonomi atau agama. Tindakan berasaskan ilmu pengetahuan akan mewujudkan keadilan dalam semua aspek kehidupan. Keadilan berlaku apabila sesuatu itu diletakkan di tempatnya yang sebenar.[9]
Menurut Prof Syed Naquib Al-Attas, “ilmu tempat yang betul” bagai sesuatu benda atau seorang bakal manusia itu ialah kebijaksanaan. Kebijaksanaan adalah ilmu yang dikurniakan Allah yang membolehkan seseorang yang mendapat ilmu itu untuk menggunakan ilmu itu dengan cara yang bijak sehingga ilmu (iaitu pengalaman atau hukuman) menyebabkan berlakunya keadilan.[10]

B) Prasangka
Prasangka berarti membuat keputusan sebelum mengetahui fakta yang relevan mengenai objek tersebut. Ini merujuk pada penilaian berdasar rasa hati seseorang sebelum memiliki informasi yang relevan yang boleh dijadikan dasar penilaian tersebut. Pengertiannya sekarang menjadi sikap yang tidak masuk akal yang tidak terpengaruh oleh alasan rasional.

Ketika Allah s.w.t pertama kali mengumumkan penciptaan manusia pertama, malaikat yang mula-mula bertanya : adakah Allah s.w.t akan mencipta makhluk yang akan menimpakan kerosakan di muka bumi. Melalui pertanyaan ini, malaikat bersikap dengan tepat kerana ingin memperoleh kepastian tentang rancangan Allah s.w.t .

Malaikat mengajukan persoalan berdasarkan pengetahuan mereka tentang sikap makhluk sebelumnya yang telah melakukan banyak kerosakan di muka bumi sehingga Allah perlu membaikinya semula.

Sikap ini sangat berbeza dengan sikap yang ditunjukkan oleh Iblis yang tanpa usul periksa telah mempertikaikan penciptaan Nabi Adam a.s.

Firman Allah “Apakah yang menghalang kamu daripada bersujud (kepada Adam) apabila Aku menyuruhmu? Jawab Iblis “saya lebih baik daripadanya. Engkau mencipta saya dari api sedang dia diciptakan dari tanah”. (Al-Araf : 12)

Jelas sikap Iblis memperlihatkan prasangka beliau yang dirinya lebih mulia. Prasangka ini yang telah mendorong Iblis menjadi angkuh dan sanggup mencabar Allah s.w.t.
“Dia (iblis) berkata “Terangkanlah kepada ku, inikah orangnya yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepada ku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya kecuali sebahagian kecil.” (Al-Isra’ : 62)

Sikap prasangka iblis telah menjerumuskan iblis kepada kesesatan sedangkan sebelumnya iblis sangat kenal Allah. Melalui kisah ini amatlah penting untuk dijelaskan secara perinci bahaya-bahaya yang boleh disebabkan oleh prasangka seperti yang banyak terdapat dalam surah-surah Al-Quran.

1) Prasangka yang berpunca dari kekaburan atau shukbah

Ia merujuk kepada kegagalan menentukan perbezaan antara dua perkara atau benda yang berbeza yang dikatakan serupa. Contoh surah Ar-Rad : 13 “Oleh itu ciptaan bagi mereka nampaknya sama”.

Ayat ini merujuk kepada kegagalan manusia untuk membezakan ciptaan dari Allah s.w.t dan yang dibuat oleh tangan manusia. Prasangka ini menjadi alasan mereka menolak ajakan Rasulullah s.a.w untuk beriman kepada Allah s.w.t.

Contoh surah Al-Araf : 198 “Dan jika kamu sekelian menyeru (berhala-berhala) unutk memberi petunjuk, berhala-berhala itu tidak dapat mendengarnya. Dan kamu melihat berhala-berhala itu memandang kepadamu, padahal ia tidak melihat”.

Ayat ini menjelaskan kekaburan orang-orang kafir yang menyangka berhala yang mereka sembah dapat mendengar dan melihat. Ini membuat mereka terusan menyembah berhala dan menolak agama yang benar yang dibawa oleh Rasul-rasul.

2) Prasangka yang berpunca dari keraguan (syak)

Keraguan berpunca dari ketidak pastian antara dua benda atau perkara dimana salah satunya dianggap pasti.

Contoh surah An-Najm : 28 “Dan sesungguhnya orang yang diwariskan kepada mereka Al-Kitab sesudah mereka, benar-benar berada dalam keraguan yang menggoncangkan tentang kitab ini”

Surah Yunus: 94 “Maka jika seandainya kamu (Muhammad) berada dalam keraguan tentang apa yang Kami turunkan kepadamu, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang membaca kitab sebelum kamu”.

Prasangka ini berpunca dari keraguan tentang yang mana satu lebih patut diterima. Ini menghalang dari membuat keputusan yang tepat tentang sesuatu fahaman atau pegangan.

3) Prasangka yang berpunca dari khayalan
Prasangka ini timbul bila berlaku sesuatu situasi atau perkara yang terbit dari angan-angan atau khayalan
Contoh seperti orang-orang kafir yang mengganggap dogeng cerita-cerita berkisar hari pembalasan.

Contoh seperti orang-orang Yahudi yang mengatakan tentang syurga dalam surah Al-Baqarah : 111 “Berkata mereka itu : Tiadalah yang akan masuk syurga melainkan orang-orang Yahudi atau orang-orang Nasrani. Demikianlah angan-angan mereka. Katakanlah : tunjukkan dalil (alasanmu) jika kamu orang yang benar”.

Prasangka ini muncul kerana keinginan mendalam kepada sesuatu atau kebencian kepada sesuatu sehingga menghalang dari melihat perkara yang sebenarnya.

4) Prasangka yang berpunca dari agakan (zann)
Merujuk kepada sangkaan yang lebih hampir kepada keyakinan. Sesaorang yang berada dan berhenti diantara dua perkara tetapi tidak dapat menentukan salah satu daripadanya, akan tetapi tidak dapat ditolak dalam hati dan perasaan.

Contoh surah Al-Maidah : 100 “Tidak sama yang buruk dengan yang baik, meskipun banyaknya yang buruk itu menarik hatimu”.

Contoh Surah Yunus : 39 “ Yang sebenarnya, mereka mendustakan apa yang mereka belum mengetahui dengan sempurna dan belum datang kepada mereka penjelasannya...”.

C) Kebenaran (haqq)
Terdapat tiga darjat kebenaran atau keyakinan yang bersangkutan dengan ilmu. Pertama, dengan alasan atau kesimpulan hasil dari keupayaan menusia menilai. Ini adalah ilmu al-yaqin. Contoh surah Al-Takhatur : 5 “Janganlah begitu, jika kamu mengetahui dengan ilmu yang yaqin”.
Kedua, keyakinan dengan melihat sendiri dengan mata sendiri. Ini adalah ain al yaqin. Contoh surah Al-Takhatur : 62 “sekali lagi, kamu benar-benar akan melihatnya dengan ain al yaqin”.
Ketiga, kebenaran yang hakiki tanpa sebarang kemungkinan berlakunya kesilapan penilaian mahupun penglihatan. Kebenaran yang hakiki ini diberikan oleh Allah s.w.t melalui wahyu yang disebut sebagai haqq al-yakin. Contoh surah Al-Haqqah : 51 “Dan sesungguhnya Al-Quran itu benar-benar kebenaran yang diyakini”.
Apabila manusia mencapai peringkat terakhir keyakinan, maka akan dikurniakan kepuasan tentang kebenaran. [11]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada ketiga-tiga konsep yang telah dijelaskan, adalah amat penting untuk memgesahkan dahulu sesuatu berita atau perkara yang diterima. Untuk melaksanakan ini memerlukan ilmu yang tepat, yang dapat menyuluh perkara-perkara yang boleh menimbulkan keraguan dan ketidakpastian. Melaluinya nanti, kebenaran akan jadi lebih nyata dan ini akan membantu dalam menentukan tindakan seterusnya.

Islam telah menggariskan beberapa kaedah yang dapat dilaksanakan untuk mencapai kepada tahap keyakinan atau kebenaran yang diperlukan. Terdapat saluran-saluran yang boleh digunakan. Yang utama ialah wahyu dan alam. Bagaimana pun Prof Syed Naquib Al-Attas membuktikan bahawa pengesahan tentang sesuatu boleh datang dari pelbagai saluran, seperti melalui pancaindera, akal fikiran sihat, berita yang benar (al-khabar al-sadiq) dan intuisi (ilham).

Islam tidak memandang kecil peranan pancaindera sebagai saluran penting mencapai pengetahuan tentang realiti empiris. Akal yang sihat yang juga sebagai salah satu sumber memperolehi ilmu dengan keupayaannya mengatur dan menemukan hubungan yang sesuai dalam setiap ruang ilmu pengetahuan. Akal juga mempunyai fakulti menafsirakn fakta-fakta empiris menurut logik agar makna mengenainya dapat diperolehi. Intuisi sebagai saluran ilmu juga mempunyai beberapa jenis dan tingkatan.

Seruan Islam merupakan seruan yang rasional dan kritikal. Secara tegas, Islam mengajak manusia agar menggunakan akal serta kebolehan semula jadi mereka untuk membuat pertimbangan terhadap semua tuntutan dan pilihan serta sentiasa berada dalam keadaan yakin.[12]

Walaupun aspek-aspek fizikal berada dalam alam yang sentiasa berubah, mesej dan semangat yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w tetap kekal relevan bagi seluruh umat manusia sehingga akhir zaman kelak.

Senarai Bibliografi
1) Wan Mohd Nor Wan Daud, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M Naquib Al-Attas, Satu Huraian Konsep Asli Islamisasi, Penerbit Universiti Malaya, KL, 2005

2) Mohd Yusof Hj Othman, Isu-isu Dalam Ilmu dan Pemikiran, Aras Mega (M) Sdn Bhd, Selangor, 1998

3) Syed Muhammad Dawilah al-Edrus, Pendekatan Holistik Sains dan Agama, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 2007

4) Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Universti Malaya, 2004

5) Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu, Budaya Ilmu:Satu Penjelasan, Pustaka Nasional Pte Ltd, Spore, 2003

6) Mustafa Kasim (penterjemah), Pengislaman Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1997

7) Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas, terjemahan Samsudin Jaapar, Tujuan dan Objektif Pendidikan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1992


[1] Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Penerbit Universiti Malaysia, KL 2004, ms 85
[2] Tamadun Islam dan Tamadun Asia, Penerbit Universiti Malaysia, KL 2004, ms 85
[3] Wan Mohd Nor Wan Daud, Falsafah dan Amalan Pendidikan Islam Syed M Naquibd Al-Attas, ms 87
[4] ibid, ms 81
[5] Mohd Yusof Hj Othman, Isu-isu Dalam Ilmu dan Pemikiran, Aras Mega (M) Sdn, Selangor, 1998, ms 11
[6] ibid, ms 11
[7] ibid, ms38
[8] Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu, Pustaka Nasional Pte Ltd, Spura, 2003, ms 36
[9] Wan Mohd Nor Wan Daud, Budaya Ilmu, ms 40
[10] Syed Muhd Naquib Al-Attas, Tujuan Dan Objektif Pendidikan Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1992, ms 25
[11] Syed Muhamad Dawilah Al-Edrus, Epistemologi Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1999, ms 39
[12] Mustafa Kassim, Pengislaman Ilmu, Dewan Bahasa dan Pustaka, KL, 1997, ms 28

Membicarakan Cinta Kepada Tuhan

Cinta Allah cinta hakiki kerana dikongsiNya kewujudan diriNya sendiri, diberiNya sedikit sifat-sifatNya dan af’alnya dengan manusia.

Manusia yang benar-benar cinta kepada Allah s.w.t, akan bersedia mengembalikan kewujudan diriNya kepada Yang Empunya, dengan rela “membinasakan” dirinya sendiri (ada yang menggelar sebagai fana’ billah).

Hanya manusia yang telah sampai ke maqam ini yang layak berbicara tentang cinta.

Cinta sesama makhluk tidak akan pernah sampai ke tahap ini. Contoh, seorang ibu yang menghadapi complications, tidak dibenarkan mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan kandungannya. Perbuatan ini salah di sisi syarak. Dalam hukum fiqh ketetapan ibu yang mengandung dan menyusu, hukumnya dibahagikan mengikut sebab untuk kemaslahatan diri sendiri atau untuk anaknya.

Orang yang telah mencapai maqam cinta, sangat mencintai sesama makhluk kerana segala yang dilihatnya adalah perbuatan Kekasihnya; tidak dilihat cacat cela. Kesedarannya tetang hakikat kewujudan dirinya dan semua yang ada, mendorongnya terusan berada lama keasyikan, kerinduan.

Padanya tiada yang Wujud, melainkan wujud yang Satu/Esa.

Dia sanggup lakukan apa saja demi Kekasihnya. Hatta sekiranya diperlukan nyawa melayang demi mempertahankan Kekasihnya dari dihina, dia akan lakukan. Segala yang dimilikinya hanya untuk Kekasihnya. Masa, tenaga, harta hanyalah alat yang digunakan untuk memperoleh keredhaan Kekasihnya. Taida langsung difikirkan dirinya sendiri, keinginannya, nafsunya.

Dia sanggup berdiri, memuji Kekasihnya berjam-jam sehingga bengkak kakinya. Dia sanggup menahan lapar kerana sedar Kekasihnya cinta kepada orang yang berpuasa. Dia sanggup bersedekah, berzakat kerana dia ingin supaya hartanya digunakan untuk membahagiakan Kekasihnya. Dia bekerja, berusaha bersungguh-sungguh mencari kekayaan untuk diberikan pinjamkan kepada Kekasihnya yang Maha Pemurah yang akan membalas berlipat ganda.

Dia sanggup lakukan apa saja demi selalu dapat berdampingan dan bermesra dengan Kekasihnya. Jika dia seorang pemikir, mindanya ligat digunakan untuk memikir cara-cara menampilkan Kekasihnya supaya turut di puja oleh orang lain. Jika dia seorang ilmuan, digunakan ilmunya untuk mengajak orang mengenali dan mencintai Kekasihnya. Jika dia seorang penyair, dikarangkan puisi-puisi dengan bait-bait indah bagi mengambarkan keindahan cintanya bagi mendorong orang lain turut teruja.

Jika dia seorang pemimpin, samada besar atau kecil, dibimbingnya anak buahnya supaya bersungguh-sungguh supaya mendapat naungan Kekasihnya. Jika dia seorang peniaga, dipastikan laba keuntungan bersih dari riba dan tipu helah supaya dapat disembahkan kepada Kekasihnya tanpa cacat cela. Jika dia seorang kaya, dia mencari-cari peluang untuk menderma kepada fakir dan miskin bagi memperoleh pujian mereka yang ditujukan kepada Kekasihnya. Jika dia seorang miskin, dia bersyukur kerana sedar dia tidak dilalaikan dari mengingati Kekasihnya dari kesibukan mengurus harta.

Akhirnya, dia sedar tiada lagi yang tinggal untuk diberikan kepada Kekasihnya. Hanya kewujudan dirinya saja yang masih ada. Dan kewujudan ini juga ingin diserah kepada Kekasihnya. Tahap inilah yang dinamakan hakikat cinta yang sebenar. Selagi masih tinggal sisa-sisa dunia, maka belum lagi mencapai tahap sebenar.

Selagi kita masih ingin bersuka-suka, masih bernafsu kepada perkara-perkara yang membawa kelazatan, ertinya masih berkongsi cinta. Selagi kita mengutamakan cita selainNya, selagai kita merasakan ada yang lebih utama dariNya, selagai kita cenderong kepada perkara-perakara lain, maka kita berkongsi cintaNya dengan yang selainNya. Cinta kita bukan hakiki.

Cinta kepada Tuhan, mudah disebut tapi sukar untuk benar-benar dirasakan. Sebab itu ikhlas merupakan pra-syarat cinta. Belajar ikhlas baru mampu sampai kepada cinta sebenar itu.

Apa makna ikhlas yang sebenar? Melakukan sesuatu dengan penuh kerelaan, kesungguhan yang didorong oleh perasaan dalaman yang seni, halus dan dilakukan dengan kesedaran, tidak mengharap kepada ganjaran dan pengiktirafan. Inilah ikhlas yang sebenar-benarnya. Keinginan untuk melakukan kebaikan yang diketahui, secara otomatis tanpa ditimbang-timbang, diperbuat perkiraan keuntungan yang bakal diperolehi. Walau pun tidak beroleh apa jua ganjaran, habuan dan sebagainya, tetap tidak menjejas kepuasan yang dirasa.

Sebab itu, para sufi yang benar dan hebat tidak meletakkan syurga sebagai harapan dan neraka sebagai halangan. Pada mereka, dorongan kepada syurga masih lagi cinta diperingkat makhluk dan bukan cinta yang hakiki. Amalan mereka “membinasakan” diri mereka berkali dan setiap kali dibinasakan, Allah s.w.t akan mengembalikan kewujudan mereka sehingga sampai masa mereka kekal kembali kepada sang Kekasih. Mereka yang benar-benar melalui proses pembinasaan ini (ada yang menggelar perpisahan) semakin kelu lidah mereka sehingga tidak lagi mampu untuk menggambarkan apa yang dilalui.

Sebab itu, dalam tradisi keilmuan Islam, makna dan faham ilmu amat penting. Dan makna ilmu hanya akan diperolehi oleh diri yang aktif yang mencari, mengamalkan serta memohon anugerah dari sumberNya yang Mutlak.

Monday, August 24, 2009

Ramadhan Kembali

Entah mengapa tiba-tiba aku ingin menulis di blog ku ini. meninjau kembali, tulisan terakhir ku juga dalam bulan Ramadhan. Mungkin setiap Ramadhan aku perlu membuat penilaian semula. Menyiapkan buku rekod ku sendiri untuk menilai apa yang berlaku dari Ramadhan lepas hingga kini.

Ramadhan tahun lepas jatuh dalam bulan Oct. Dari bulan itu hingga kini, bulan August tahun 2009.

Yang paling aku hargai ialah pertemuan dengan Prof Syed Naquib Al-Attas yang datang ke Spura pada 5 & 6 November 2008. Pertemuan yang sangat tidak disangka-sangka. Kebetulan dalam bulan Ramadhan, aku telah bermimpi dua malam berturt-turut bertemu Prof Naquib. Bila aku cerita dengan teman baik ku, beliau nyatakan aku akan bertemu Prof Naquib. Aku jawab, aku tidak pasti bagaiamana kerana Prof N sudah tidak lagi memberikan kuliah secara umum.

Alhamdulillah, melalui emel yang aku kirimkan kepada pengarah sekolah ku, Cikgu Abdullah, telah mendapat response dari Prof N. Bila Cikgu A menalipon ku untuk memberitahu, aku terpekik kegembiraan. Aku sungguh-sungguh tidak sangka Prof N sudi datang untuk memberi kuliah. Bahkan, Cikgu A sendiri hampir tidak percaya. Dipendekkan cerita, aku amat bersyukur Allah kabulkan doa ku. Kini, gambar yang aku amblil bersama Prof Naquib, adik ku serta sahabat baik ku, menjadi wallpaper laptop ku. Setiap kali aku "on" wajah Prof N yang akan aku lihat dahulu. Melihatnya, memberi inspirasi setiap kali.

Sempena ulang-tahun kelahiran ku, yang 3 hari dengan ulantahun kematian abang ku dan 6 hari ulangtahun kelahirannya, aku mengalami depression. mulanya aku tidak sedar. aku tidak berkongsi dengan sesiapa. hanya lepas seminggu selepas ada "trigger" baru aku mengalami "full-blown" depression yang mengambil masa sehingga 3 minggu lamanya. Rupaya, aku belum dapat "grief" sepenuhnya sebelumnya. Sebelumnya, aku menyambut hari lahirnya. Aku menjadi sangat sensitif sehingga aku asyik menangis. Aku tidak dapat berfungsi seperti biasa.

Aku amat berterima kasih kerana ketika itu, mentor ku memberikan sokongan penuh. hampir stiap hari beliau melayan emel ku dan memberi sokongan. beliau cuba memujukku dan berjenaka untuk membantu. aku sangat hargai sokongan yang diberikan. bahkan, beliau sendiri perlu menerima segala "nonsense" ku dengan sabar. beliau turut jadi "mangsa" kerana aku tidak dapat berfikir dengan rational. Lepas tiga minggu baru aku sembuh sepenuhnya dan dapat menjalankan aktiviti seperti biasa.

Sepanjang tahun aku amat bersyukur kerana tulisan-tulisan ku diakhbar terus disiarkan. hampir setiap bulan. Aku juga aktif menulis dan memberi pandangan ke forum online bagi para pelajar peringkat tinggi. Alhamdulillah, dapat juga perhatian.

Teman baik ku yang telah ku kenali selama 10 tahun, yang sebelumnya "memutuskan" hubungan kembali menghubungiku. Bagaimana pun, aku semakin sedar yang aku semkain suka bersendirian. Aku semakin kurang bersosial. Aku selesa sekadar untuk berperap di rumah, membaca, berfikir dan mengkaji. Ramai teman-teman ku sudah menjauhkan diri gara-gara sikap ku.

Aku menerima kritikan dari berbagai pihak kerana tulisan ku. Mulanya aku agak terjejas tapi lama kelamaan aku jadi season dan kini sudah tidak berapa peduli melainkan dari orang2 yang aku rasa penting saja.

Bulan Jun, perlu membuat dua keputusan penting yang menjejas kehidupan ku. Mulanya, aku agak bimbang dengan kesannya. Alhamdulillah, ALlah memudahkan segala urusan. Bulan Julai aku telah melakukan satu lagi amalan zikirku yang pernah aku amalkan 5 tahun dulu ketika aku berhadapan dengan permasalahan yang berat. Aku bersyukur kerana Allah telah melepaskan aku dari bebanan masalah yang berat tersebut menjadikan hidup ku lebih tenang. Aku kini telah dapat melepaskan sepenuhnya kehidupan lamaku, kenangan-kenangan lama.

Aku semakin kerap mendapat mimpi-mimpi yang terbukti benar. Ada mimpi yang perlu aku takwil, ada yang tidak. Setakat ini, hampir semua menjadi kenyataan dalam masa yang pendek. tidak seperti dahulu, yang adakalanya mengambil masa yang agak lama sehingga aku telah lupakan.

Hubungan ku dengan mentor menjadi tidak menentu. AKu tidak pasti apakah kesilapan yang telah aku lakukan. Dari response yang aku terima darinya, seolah-olah membayangkan aku tidak dapat lagi meneruskan hubungan mentorship ku kerana beberapa sebab yang aku sendiri tidak jelas.

Aku redha menerima kerana aku sedar ALlah tahu apa yang baik buat ku. Walalupun sedih, kerana merasa masih memerlukan bimbingan, aku sedar aku tidak boleh tamak. Mentor ku amat diperlukan untuk membimbing pelajar-pelajar lain yang lebih memerlukan. mungkin aku mengambil masanya terlalu banyak sedangkan dia sentiasa dalam kesibukan. Apa pun, aku bersyukur ke hadrat Allah s.w.t yang telah mengizinkan aku memperoleh bimbingan darinya. Aku mohon Allah s.w.t membalas segala kebaikannya dan dipermudahkan segala urusannya.

Kini aku perlu belajar bersendirian. kali ini agak berbeza, kerana tanpa guru, tanpa abg, tanpa teman2. Aku perlu melaluinya. Aku letakkan segala pergantungan ku pada Allah s.w.t. Cukuplah Allah sebagai wakil ku.

Aku akan melakukan umrah akhir Ramadhan, Insya Allah. Setelah menunggu selama 13 tahun, VISA ku telah diluluskan. dengan itu, aku akan dapat menziarahi Kaabah dan maqam Rasul s.a.w. dalam bulan ini nanti. Aku sangat rindu untuk ke sana. Mentelah aku akan sambut 10 malam terakhir Ramadhan (mudah2ah aku dapat malam lailatur qadar), ulangtahun kelahiran ku pada 19 Ramadhan dan Idilfitri di sana. Aku ke sana sendirian tanpa mahram dan keluarga.

Aku rasa tahun ini ada suatu yang istimewa. Utahun kelahiran ku iaitu 19 Ramadhan, jatuh pada 9 hari Sept (bulan 9) tahun 2009. Kebetulan bulan Ramadhan bulan ke 9 dalam kalendar Islam.

Walaupun tahun ini aku mengalami beberapa kekecewaan, tapi aku berharap sekembalinya aku dari umrah, aku dapat mengembalikan semangat ku. Banyak yang ingin aku pohonkan kepada Allah. banyak hajat2 ku yang ingin aku luahkan padaNya. Aku ingin menumpukan kehidupanku hanya untukNya.

Saturday, October 4, 2008

Ramadhan dan Harapan

Sekali lagi diizinkan Allah s.w.t melalui Ramdhan dan menyambut Hari Raya. Mengimbas kembali keadaanku diRamadhan lepas, rasanya tidak mampu untuk mengucapkan kesyukuran kehadrat Allah s.w.t. Tahun lepas, Ramadhan ku lalui dengan perasaan berkecamuk, keyakinan diri yang rendah dan berbagai emosi yang membuat aku sering menangis memohon Allah s.w.t datangkan bantuan dan pertolongan.

Allah telah menjawab doa ku. Dikirimkan aku seorang mentor yang telah banyak membantu aku mengenali diri sendiri dan mengembalikan keyakinan diri. Banyak juga ilmu2 yang telah aku perolehi yang telah mengubah perspektif ku. Bayangkan, tahun ini saja sudah empat surat aku kirimkan ke berita harian untuk memberi pandangan ku tentang isu-isu berkaitan dengan masyarakat yang menjadi fokus utama ku. Kalau sebelumnya, aku hanya berani menulis dalam blog atau luahkan sesama teman. Begitulah kesannya yang amat aku hargai.

Aku juga semakin sedar tentang keperluan mempunyai role-model dalam kehidupan. Tugas ku yang sentiasa berhadapan dengan perbagaia ragam pelanggan dari berbagai latar-belakang dan agama serta bangsa. Tapi, masalah yang dikongsi tetap sama... permasalahan kehidupan tetap menjadi isu pokok yang boleh menjejas kebahgiaan sesaorang.

Satu yang aku amat sedar melalui interaksi ku dengan pelanggan2 yang juga guru-guru akademik dari berbagai tahap. Ramai yang merasa tidak berdaya mengatasi masalah akhlak pelajar yang semakin bertambah buruk. Ramai guru yang mengeluh pelajar2 kini sukar dibimbimg dan membuat tugas mereka semakin stress dan mencabar.

Aku sering nasihatkan iaitu pelajar2 perlukan role-model, iaitu invididu2 yang mereka boleh tiru dan hormat. Mereka lebih mudah terkesan melalui lisanul hal iaitu menegur dengan contoh dan bukan sekadar perkataan. Pelajar remaja amat kritikal dan mudah hilang hormat sekiranya guru-guru dan orang dewasa yang mereka dampingi gagal menunjukkan contoh yang baik.

Sebagai orang Islam, aku rasa beruntung kerana punya role-model untuk dicontohi. Rasulullah s.a.w, para sahabat, tabiin, ulama2 yang muktabar merupakan contoh-contoh ikutan yang telah terbukti dalam sejarah. Mereka menjiwai segala yang diajarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah.

Ada kalanys sakit hati juga bila berhadapan dengan pihak2 tertentu yang sering memperkecil-kecilkan sumbangan orang-orang awal ini. Pihak2 ini yang merasakan diri mereka lebih baik dan lebih bijak serta lebih wara' mungkin, tidak teragak-agak mencela dan mengkritik serta membesar-besarkan kesilapan2 kecil yang dilakukan. Mereka lebih cenderung untuk menolak sumbangan serta ketinggian ilmu yang dimiliki oleh ulama silam atas dasar yang remeh.

Contoh, ramai yang tolak tasawuf dan amalan tareqat kerana terdapat segelintir golongan yang menyeleweng dan bertindak ekstrime dalam kefahaman dan amalan mereka. Sedangkan kepentingan tasawuf dalam Islam yamg menyentuh inti-pati amalan beragama tidak diambil tahu dan dtolak sama. Ini merugikan umat Islam sendiri.

Banyak perlu dilakukan untuk menyedarkan masyarakat tentang kekeliruan yang telah menular. Satu sudut kekeliruan berpunca dari faktor dalaman dan satu sudut lagi dari faktor luaran. Semua ini perlu dijelaskan dan cuba difahamkan kepada masyarakat. Aku sedar tidak mudah. Berbagai halangan akan dihadapi. Mudah-mudah Allah s.w.t akan datanglah lagi bantuan dalam bentuk mereka yang telah mempunyai kesedaran diri, dan sanggup untuk berkorban tenaga, masa serta harta demi mengajak manusia kembali ke jalan yang benar. Ini yang sangat2 aku harapkan bagi tahun yang akan datang ini..

Wednesday, August 6, 2008

puisi motivasi diri

Sedar ku kini pesanan auliya
Jangan menaruh harapan pada manusia
Kelak kita menjadi mangsa
Menghabis masa, usia dalam sia-sia

Benar seperti nasihat mereka
Hanya pada Allah perlu kita berserah
Kerana manusia lemah seperti kita juga
Mereka juga diuji, disakiti dan merasa lelah

Tidak wajar meletakkan pergantungan pada manusia
Sedangkan Allah jua yang mencipta mereka
Sumber segala ilmu, kekuatan hanya dariNya
Mengapa berpaling pada yang lebih rendah?

Manusia disibukkan dengan berbagai perkara
Kebuntuhan hidupnya banyak tidak terkira
Masakan mereka dapat menampung semua
Keterbatasan mereka janganlah ditambah

Maafkan segala kelemahan mereka
Bukan keinginan mereka demikian rupa
Tapi sudah dicatur oleh yang Maha Berkuasa
Masa, tenaga, harta mereka didalam ketentuanNya

Hilangkanlah perasaan jemu dan marah
Bisikan iblis yang suka bertelingkah
Memutuskan silaturrahim sesama manusia
Menimbulkan permusuhan matlamat mereka

Doakanlah mereka lebih utama
Mohonkan bantuan Allah buat mereka
Semoga mereka dibantu dan dipermudahkan jua
Selamat dunia dan akhirat kebahgiaan kekal di Sana

Sayangilah mereka sebagai saudara
Seperti kita, mereka berusaha sedaya upaya
Mencari keredhaan Allah memburu cinta
Apakan daya kita tidak dapat bersama

Tumpukan kini kepada Pencipta
Mohonlah segala keperluan dari Yang Maha Segala
Dia amat faham kebuntuhan kita
Kita akan selamat sentiasa berpegang denganNya.


Puisi ini luahan hati untuk memujuk diriku sendiri. Sebagai manusia biasa, ada kalanya, aku juga merasa lemah dan memerlukan motivasi diri. Selalunya, aku akan meluahkan dalam bentuk puisi. Setakat ini, tidak berani lagi untuk aku kongsi dengan sesiapa kerana merasa terlalu bersifat peribadi. Takut juga disalah faham dan menimbulkan fitnah iaitu riak dan ujub. Aku sedar iblis tidak akan jemu-jemu memerangkap aku dengan berbagai caranya.

Thursday, July 31, 2008

Nina - gadis keliru yang ingin murtad

Gadis manis berusia 19 tahun ini dikenalkan kepada ku oleh teman sedarjahnya. Kedua-duanya menjadi "anak angkat" ku selama lebih sebulan untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan GCE "A" mereka. Mereka menetap di rumahku. Kebetulan ketika itu baru nak masuk bulan Ramadhan. Sebelumnya aku pernah juga mengambil "anak angkat" bila diminta oleh teman-teman yang merasa sukar menguruskan anak-anak mereka.

Di pringkat awal, Nina (nama samaran) kelihatan seperti remaja-remaja lain. Setiap kali diajak solat, beliau mengatakan sedang uzur. Aku langsung tidak menyangkakan apa-apa kerana teman yang mengenalkannya pada ku,Nora (nama samaran), telah aku kenal sejak dia masih kanak-kanak lagi. Dia anak sulung kakak angkat ku yang merasa amat tertekan dengan sikap dan perangai anak gadis remajanya ini.

Aku sekadar memerhatikan kedua mereka dan bertanya khabar bila perlu saja. Aku juga menawarkan bantuan sekiranya mereka menghadapi masalah dalam pelajaran. Jika meeka silap, aku "slow-talk" dengan mereka. Setiap sahur aku akan kejutkan mereka dan waktu berbuka sekiranya aku pulang lewat, mereka akan membeli makanan mereka sendiri.

Satu hari aku pulang awal dan sempat memasak untuk berbuka puasa. Aku telah mengirim SMS kepada Nina dan beritahunya supaya tidak membeli makanan kerana aku telah masak untuknya dan Nora. Malam tu kami makan bersama walaupun Nina tidak berpuasa. Melihat dia begitu berselera sekali makan aku pelawa dia habiskan semua lauk yang dia suka. Nina kemudian telah mengejutkan aku dengan katanya "No body ever cook dinner for me". Wajahnya kelihatan sedih semasa meluahkannya. Ini membuat aku mengambil perhatian.

Keesokan harinya, tanpa kehadiran Nina, aku telah bertanya Nora latarbelakang Nina. Nora sebenarnya keberatan untuk berterus-terang tapi aku mampu mencungkil beberapa info tentang Nina. Aku sudah tahu Nina bekas pelajar madrasah sepenuh masa. Setiap hujung minggu beliau perlu bekerja. Nina tidak solat dan tidak puasa. Berbeza dengan Nora, dia juga tidak berpakaian menutup aurat. Dan menurut Nora, Nina perlu hadiri kaunseling sebulan sekali bersama Ustaz di tempat madrasah lamanya.

Selang dua minggu peperiksaan akan bermula, aku berpeluang berbual dengan Nina tanpa kehadiran Nora. Aku bertanya beliau tentang tugas hujung minggunya. Menurut Nina beliau telah bertugas sebagai child-minder sejak usia 10 tahun lagi. Beliau bertugas di tempat kerja ibunya. Aku telah bertanya adakah beliau akan mengambil cuti hujung minggu itu kerana peperiksaan akan bermula.

Nina kelihatan seperti kebingungan. Beliau tidak pasti samada beliau boleh lakukan kerana selama ini beliau takut untuk minta cuti. Melihatnya begitu, aku ajarkan apa yang perlu dia katakan kepada supervisornya untuk mendapat kelepasan. Nina setuju. Kemudian aku tanya dia lagi, selepas exam nanti, apakah yang akan dia lakukan. Nina jawap dia akan terus bekerja di tempat yang sama.

Aku tanya Nina tidak kah dia teringin untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan merasa pengalaman yang baru. Nina menjawab, ibunya yang menentukan segalanya. Ibunya yang ingin dia meneruskan pelajaran ke peringkat "A" dan kemudian mengambil diploma dalam bidang yang sama dengan ibunya. Aku bertanya adakah itu yang dia inginkan? Nina jawab, soalan itu tidak pernah difikirkannya kerana selama ini ibunya yang membuat semua keputusan.

Kemudian, aku bertanya bagaimana dengan bapanya? Nina kelihatan sedih. Dia bercerita iatu ibu-bapanya telah bercerai sejak beliau berusia 5 tahun. Bapanya telah bernikah semula dan mempunayi beberapa orang anak lain. Dia mempunyai beberapa adik sebapa. Menurut Nina, sesekali beliau berjumpa juga dengan keluarga bapanya. Melalui ceritanya aku dapat kesan perasaan sedih bercampur marah yang ada dalam dirinya. Bahkan, sepanjang aku kenal dia, aku rasakan ada semacam perasaan marah yang disimpan dalam dirinya yang cuba diselindungkan.

Perbincangan pagi itu aku akhiri dengan hanya menasihatkannya untuk berfikir tentang peperiksaan dahulu. Aku juga katakan kepadanya, supaya mencuba bidang baru semasa cuti nanti untuk memperoleh kepelbagaiaan pengalaman sebelum memutuskan jurusan apa yang ingin diambilnya nanti.

Hari Raya tahun itu, aku tidak pulang ke kampung. Aku sambut sendirian di rumah. Selepas sehari Nina kembali ke rumah ku. Kami dapat berbincang tanpa kehadiran Nora. Nina sangat ghairah ingin bercerita. Beliau nyatakan telah pun mendapat cuti dari tempat kerjanya. Beliau juga mula berkongsi masalah dia dengan teman-teman sekolah. Dia merasakan mereka semua tidak suka padanya kerana dia dianggap sebagai "cheap" kerana punya ramai teman lelaki.

Aku sekadar katakan padanya, gadis cantik sepertinya sudah tentu diiri-hati oleh ramai teman-teman. Dia tidak harus ambil hati selagi dia tidak lakukan apa juga kesalahan. Berkawan dengan lelaki selagi dalam batas tertentu tidak menjadi masalah. Aku sendiri berkongsi yang dahulu aku lebih senang berkawan dengan lelaki dari wanita.

Kemudian aku telah bertanya tentang ibu Nina. Dia memberitahu, ibunya kerap ke America kerana mempunyai teman lelaki di sana. Aku tanya jika ibunya tiada, siapa yang menguruskan dia dan abang dia. Nina jawap, dari kecil dia uruskan dirinya sendiri. Dengan sedih Nina menambah iaitu ibunya sering katakan kepadanya dia (Nina) sekadar menyusahkan hidupnya (ibunya). Ini membuat Nina sangat sedih. Mendengar itu, aku dapat rasakan kepedihan hatinya. Aku bertanya mengapa beliau dihantar ke madrasah sedangkan dari info yang aku perolehi, ibunya bersikap agak liberal.

Nina jawap, bapanya yang menyuruhnya belajar di madrasah. Aku tanya beliau pengalaman belajar di madrasah. Nina kata dia merasa seperti "orang asing" kerana dia sering kena hukum dan denda kerana sikapnya yang tidak menurut perintah. Dia dituduh biadap, keras kepala dan suka menjawab. Akhirnya, untuk menunjukkan kemarahan beliau, setiap kali keluar gate sekolah aje, beliau akan tanggalkan tudung sekolah. Perkara ini dilaporkan kepada pengetua dan beliau telah mendapat celaan. Tapi, semakin dicela, Nina kata, dia menjadi semakin degil. Dia tidak kisah setiap kali didenda dan dimalukan dikhalayak ramai.

Aku tanya Nina, apakah soalan-soalan yang dia sering tanya yang mendapat kemarahan dari guru-gurunya. Nina memberi beberpa soalan. Pada penilaian ku, soalan-soalan yang ditanyakan adalah amat baik dan menunjukkan keupayaannya untuk berfikir dan bersikap kritikal. Hanya mungkin, cara dia bertanya menimbulkan salah-faham sehingga dia dianggap biadap. Aku memberinya jawapan kepada beberapa soalan yang ditanyanya itu.

Kemudian Nina telah mengejutkan aku dengan kata-kata kerana dia sering sangat kena denda, dia telah ngaku pada kawan-kawan sekolahnya dia ingin murtad. Perkara ini telah disampaikan kepada pengetua yang berakhir dengan dia perlu menjalani kaunseling setiap bulan. Aku tanya adakah kaunseling itu berkesan buatnya. Dia kata, dia sekadar mendengar.

Aku tanya dia adakah perkara ini dibincangkan kepada ibunya. Nina jawab, bila dia beritahu ibunya yang dia ingin murtad, ibunya sekadar menjawab "Why do you think i dont pray?". Mendengar itu, aku beristighfar dalam hati. Kasihan Nina. Dari usia muda telah mendapat berbagai ujian hidup.

Kisah ini sebenarnya panjang. Unutk beberapa ketika Nina masih bersama ku, aku cuba menasihatkannya. Dia sebenarnya keliru dan bukan berniat untuk murtad. Aku suruh beliau tangguhkan apa jua keputusan sebelum beliau bersedia dan memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang perlu. Aku juga bantu dia hilangkan perasaan marah yang begitu memendam dalam dirinya. Aku juga galakkan dia untuk membuat keputusannya sendiri dalam menentukan kehidupannya kerana ibunya bukan role model yang baik dan boleh ditauladani. Aku juga menjawab berbagai soalannya tentang Tuhan dan erti kehidupannya. Beberapa kali dia menangis tapi aku biarkan kerana itulah yang dia perlukan. Aku cerita tentang pengalaman Rasul semasa kecil untuk dijadikan perbandingan kepadanya.

Akhirnya, aku katakan padanya, sekiranya aku punya seorang anak perempuan, aku ingin anak ku mempunyai personaliti sepertinya, berani, berdikari, tidak menurut saja, boleh berfikir dan bersemangat. Aku faham jiwanya yang sering merasakan "perbezaan" dari orang lain.

Setelah tamat peperiksaan, sebelum berpisah, Nina mengembirakan aku dengan berkta dia tidak akan kembali bekerja di tempat lamanya. Nina juga telah meninggalkan nota untuk ku dengan kata-katanya yang sangat menyetuh hatiku "Thanks for being the mother that i never have". Sedihnya, Nina tambah "I admit i am confused. I need time to sort my life. I need to find my life in my own way.'

Melalui Nora, aku memantau perkembangan Nina. Aku tahu selepas exam beliau memilih untuk bekerja di sebuat pusat retail. Keputusan GCE "A" level mereka berdua agak baik dan kedua-duanya milih untuk masuk NIE. Ketika ini, Nora telah mula mengajar sedangkan Nina meneruskan ke peringkat Honours. Aku sentiasa doakan Allah bimbing Nina kerana dia seorang yang sangat berpotensi.

Kisah Nina ini meninggalkan kesan padaku. Betapa pentingnya peranan seorang ibu dan bapa kepada seorang anak. Begitu juga peranan guru dan teman-teman. Aku hanya berharap aku telah melakukan apa yang termampu dan terbaik buatnya ketika aku dizinkan untuk bersamanya.

Monday, July 28, 2008

Menghadapi Kematian

Tahun lepas aku kehilangan tiga anggota keluarga dari tiga generasi. Abang kandung ku, berusia 44 tahun, emak saudara ku (kakak kepada ibuku), berusia 87 tahun, dan nenek saudara ku (kesayangan arwah bapaku) berusia 101 tahun.

Pemergian abang ku yang paling menjejas diriku. Walaupun sebelumnya telah mempelajari tasawuf dan ilmu makrifatullah, tapi bila berhadapan dengan kematian orang yang disayangi, sukar juga mengawal perasaan. Terbit juga rasa kesal dan rasa bersalah serta berbagai emosi lain sedangkan aku sedar semuanya adalah atas kehendak Allah s.w.t

Apa yang membuat aku rasa agak sukar menerima ialah keadaan hidup abang ku. Sejak usianya sebelas tahun, dia menjadi lumpuh setelah jatuh ketika berusia 9 tahun. Tulang belakangnya retak dan spinal fluid nya telah melilih keluar sehingga menjejas bahagian bawah tubuhnya. Hidup keluarga ku berubah setelah kejadian tersebut. Kami miskin dan aku sendiri perlu bekerja dari usia 9 tahun, masa muda ku banyak di habiskan di hospital.

Abang ku ini seorang yang tabah. Begitu juga arwah bapaku dan ibuku. Dia tidak pernah komplen atau mengeluh dengan nasib yang menimpanya. Dengan bantuan yang diterima dari sosial works dept, abang ku dapat meneruskan persekolahannya sehingga mendapat keputusan cemerlang peringkat GCE ‘O”. Aku masih ingat bagaimana aku yang lebih muda darinya, merayu dari satu JC ke satu JC untuk mendapatkan tempat baginya meneruskan pelajaran. Aku sendiri masih di sekolah menengah. Semuanya menolak kerana tiada kemudahan untuk pengguna kerusi roda.

Akhirnya, abang ku mendapat tempat di Outram Sec Sch (sekarang Outram Institute). Keluarga ku tidak dapat lupakan kebaikan semua kaki tangan dan rakan-rakan beliau yang banyak membantu sedangkan Outram adalah sekolah lama, di atas bukit, tanpa lift dan hanya menggunakan tangga yang sempit. Kalau dikenangkan, boleh ku catit berjela pahit manis bersama abang ku.

Nasibnya bertambah buruk bila sekali lagi beliau mengalami relapse dan terus koma. Ditengah-tengah malam bulan Ramadahan. Aku yang menalipon ambulance dan menemaninya ke hospital. Aku masih ingat tanpa rasa simpati pun, doktor memberi tahu abang ku boleh meninggal bila-bila masa kerana gangguan otaknya. Kerana usia ku masih bawah umur, aku terpaksa telephon bapa ku supaya datang untuk tanda-tangan operasi kecemasan.

Selama tiga bulan dia koma dan hampir setiap hari,lepas sekolah, aku menziarahinya kerana ibuku sibuk menguruskan pembuatan kueh-mueh untuk dijual disebelah malam. Buka puasa dalam bas. Hari Raya pun di hospital. Selalunya, pulang hospital aku akan membantu ibu dan disebelah malam akan ke gerai jualan. Lewat malam baru pulang. Entahlah, bila aku dapat belajar sedangkan aku ketika itu berada dalam kelas terpandai di sekolah.

Setelah separuh sedar, abang ku disuruh pulang ke rumah. Akulah yang paling banyak membantunya. Memberinya makan melalui tiub, menjaga kebersihannya dan kemudian bila beliau sedar, aku yang mengajarnya bercakap-cakap. Hanya aku seorang yang dapat faham bahasa isyarat yang digunakan. Kisah kami pernah tersiar di berita harian. Diringkaskan story, hubungan ku amat akrab.

Selama lebih 20 tahun abang ku terlantar di katil saja dan perlu diberi penjagaan sepenuhnya. Sebelum bapa ku meninggal dunia kerana cancer, ketika usia ku 22 tahun, ibu ku, bapaku, kakak ku dan abang ku telah berhijrah ke Msia. Setelah aku diberitahu bapa ku hanya ada enam bulan, aku yang sarankan beliau menikmati masa-masa akhirnya di kampung. Aku menyatakan kesanggupan menjadi ibu dan bapa kepada dua orang adik ku yang masih remaja dan bersekolah.

Beberapa tahun lepas aku telah membawanya kembali ke Singapura atas permintaannya dan menempatkan dia di Darul Syifaa’ Segala pembiayaan ditanggung oleh ku dan adik perempuan ku. Tujuan ku meletakkan beliau di nursing home, supaya beliau dapat berinteraksi dengan pesakit-pesakit lain.

Sebenarnya, abangku mempunyai peranan yang besar dalam hidupku. Aku memilih bertugas di hospital supaya aku dapat tahu perkembangan terkini dalam bidang rawatan. Kami tidak pernah putus harap untuk menyembuhkannya. Bahkan, setelah lebih sepuluh tahun dalam bidang IT, aku memilih menukar jurusan kebidang rawatan alternative kerana niat untuk membantunya. Aku rasa kurang sabar dan ingin mencuba kaedah rawatan lain. Aku sentiasa mengikuti perkembangan dibidang medikal lebih-lebih lagi berkaitan neurosciences atau urat saraf dan otak. Aku sentiasa memberi tahunya perkembangan terkini dan memberinya semangat untuk tidak putus asa.

Kematiannya merupakan satu tamparan pada ku. Selama ini, segala yang aku lakukan untuk nya. Wang gajiku aku simpan untuknya. Aku meninggalkan wasiat sekiranya aku pergi dahulu, segala simpanan dan rumah ku digunakan untuk biayainya. Aku tumpukan sepenuh perhatian mengkaji tubuh manusia dan belajar berbagai kaedah rawatan. Ku letakkan matlamat hidupku untuk membantunya.

Kematiannya begitu menjejas ku. Aku bertanya mengapa Allah jadikan dirinya sekadar untuk menjadi beban kepada orang lain? Sepanjang hayatnya, dia tidak dapat membantu diri sendiri dan sebaliknya mengharapkan bantuan pada orang lain? Aku bertanya bukankah Allah tidak jadikan sesuatu itu sia-sia? Tapi melihat hidup abangku, terasa seolah betapa “sia-sianya” hidupnya. Itulah pergolakan yang ku rasakan diperingkat awal.

Selain itu, lima hari terakhirnya, siang dan malam aku yang menemani. Aku melihat sendiri bagaimana dia menarik nafas yang terakhir. Beberapa kali sebelum itu, aku perlu menggunakan segala kepadaian ku dalam bidang rawatan untuk membantunya. Hubungan kami sangat akrab, sehingga kami mampu telepathy antara satu sama lain ketika beliau sudah semakin nazak. Pengalaman melihat kematian sangat menginsafkan tetapi membuat aku facinated. Aku merasa kagum dengan Allah s.w.t dan juga gerun betapa berkuasaNya Dia. Pemergiaannya ku redhai kerana satu kelepasan dari bebanan yang begitu lama yang ditanggungnya.

Beberapa bulan selepas kematiaannya, aku masih rasa kekosongan. Aku mash mencari jawapan tentang keperluan kewujudannya. Aku masih bertanya apa erti kehidupan. Segala perancangan ku untuk nya kini terbengkalai. Aku jadi tidak pasti apa yang perlu aku lakukan. Aku perlu mengubah matlamat hidupku. Aku perlu ubah segalanya tentang hidupku. Ini membuat aku tidak menentu. Segalanya telah berubah.

Akhirnya, aku mendapat jawapan. Walaupun kehidupan arwah abang ku seolah-olah sia-sia, hakikatnya, dia lah yang menjadi tunggak dalam keluarga. Musibah yang menimpanya menjadikan kami sekeluarga berbeza. Banyak yang tidak kami kongsi dengan orang lain erti kehidupan. Aku sendiri, sepanjang hayatnya, tidak pernah berani komplen atau mengeluh. Setiap kali melihat keadaanya, semua kesukaran yang perlu ku tanggung, aku telan dan pendamkan. Padaku, apalah jika dibandingkan dengan penderitaan yang perlu ditanggungnya. Itulah makna kehidupannya, membuat kami sekeluarga merasa betapa rapuhnya kehidupan dan betapa perlunya kami pada Tuhan Rabbul Alam.

Ya, itulah pengalaman yang telah mengubah ku. Hampir aku hilang keyakinan diri. Aku kehilangan mentor. Aku merasa lemah dan memerlukan bantuan. Alhamdulillah, akhir tahun lepas, Allah datangkan aku seorang yang sangat baik dan sangat memahami. Aku luahkan segala perasaan ku padanya. Dengan pertolongan dan bantuannya, aku dapat bangkit kembali. Bahkan, dengan nasihat dan panduannya, aku kini mempunyai makna baru kehidupan dan semangat baru untuk terus mengejar impian. Kesabaran beliau amat aku hargai. Beliau begitu ikhlas dan begitu prihatin. Tanpa rasa jemu dan penat, beliau terusan membimbing ku dan membantu ku mengenali diriku semula. Kini aku kembali tenang.

Alhamdulillahirabbil ‘alamin. Terima kasih Prof Wan, Terima kasih, Ya Tuhan.

Oh ya, mengapa baru sekarang aku nak kongsi? Sebelumnya, aku sangat sukar berkongsi perasaan atau kisah-kisah peribadi. Inilah salah satu perubahan yang telah aku alami melalui bimbingan yang diterima. Aku belajar melihat kehidupan ku dari perspektif yang berbeza dan sudah dapat let-go banyak perkara. Alhamdulillah.