Wednesday, January 16, 2008

Mari Kita Hijrah

Tahun baru hijrah baru saja bermula. Kebetulan hanya sepuluh hari saja selepas kita menyambut tahun baru masehi. Sebelum ketibaan tahun baru hijrah tempoh hari, aku sudah pun membuat tekad. Untuk tahun ini, aku akan berhenti dari asyik memaparkan kelemahan-kelemahan, kekurangan-kekurangan dan sikap-sikap negatif masyarakat Melayu. Sebaliknya aku ingin mengajak pembaca sama-sama mencari punca masalah dan cuba menyelesaikannya bersama.

Aku telah mula dengan mengirim pandangan ku ke BH untuk ruangan forum. Artikel ku telah disiarkan pada 13hb Jan yang lalu, dengan sedikit censored. Tak apa, yang penting, pandanganku diterima, aku sudah cukup bersyukur. Aku sekadar mencuba keupayaan ku memberi buah fikiran seperti yang digalakkan oleh pensyarah ku sebelumnya.

Aku menyentuh isu tentang hijrah minda. Pada ku, ini adalah akar kepada segala perubahan yang bakal dilaksanakan. Jika minda kita benar, maka besar kemungkinan tindak-tanduk kita juga benar. Jika akal kita berserabut dengan berbagai kekeliruan, maka besar kemungkinan pandangan hidup kita juga berserabut yang berakhir dengan tingkah-laku yang kelam-kabut.

Aku berkongsi pengalaman ku sendiri. Tanpa aku sedari, sepanjang usia ku sehingga kini, berbagai macam fahaman dan ideologi yang telah aku serap. Ada yang secara tidak sedar, dan banyak juga yang aku terima bulat-bulat tanpa terlebih dahulu menapisnya. Semua ini aku kutip samada melalui pergaulan, pembelajaran, pembacaan, menonton, pencerapan, penafsiran tentang sesuatu pengalaman dan penilaianku sendiri. Semakin luas pendedahan ku, semakin banyak yang telah minda ku resap.

Semua yang diserap ini hanya diketahui bila mana aku perlu berhadapan dengan sesuatu keadaan yang asing atau baru, iaitu yang berbentuk musibah atau ujian. Ketika itu, bagaimana aku menilai, mencari penyelesaian dan bertindak, sudah tentu bersumberkan dari apa yang telah ada dalam minda ku. Hasil atau natijahnya, mencerminkan taraf minda ku yang sebenarnya.

Di dalam Al-Quran, surah At-Taubat, Allah berfirman yang setiap orang akan diuji sekali atau dua kali setahun. Ujian ini sebenarnya perlu bagi menilai tahap pencapaian kita sebagai hamba Allah- samada kita telah meningkat dari setahun ke setahun, atau sebaliknya masih di takuk lama. Sekiranya kita gagal dalam ujian tahun ini, akan diulang lagi ujian yang sama tahun hadapan dan seterusnya sehingga kita berjaya mengatasinya.

Setiap dari kita perlulah menilik dan menilai setiap perkara yang berlaku atas diri kita dari setahun ke setahun. Kalau setiap tahun, kita mengalami peristiwa atau nasib yang serupa, besar kemungkinan, kita telah gagal dalam ujian yang lepas. Maka, perlulah kita kaji pula apa punca kegagalan tersebut.

Bagi mereka yang setiap tahun melalui ujian yang berbeza dan semakin berat, janganlah mengeluh. Ini bermakna kita sudah berjaya mengatasi ujian yang lalu yang lebih mudah, dan sekarang kita diberi peluang pula untuk meningkat ke tahap yang lebih tinggi lagi. Bukankah Allah s.w.t berpesan yang Dia tidak akan menguji sesaorang lebih dari kemampuannya? Berhiburlah, kerana ini merupakan penilaian penting yang keputusannya akan diberitahu diakhirat kelak.