Saturday, September 29, 2007

Melayu takut kena Kritik?

Bukan Melayu saja takut kena kritik. Ramai orang pun tak suka kena kritik. Tapi, sebenarnya apa yang dirasakan bila kena kritik? Betulkah ada kritikan membina dan ada kritikan yang menjatuhkan?

Pada ku, kritikan tetap kritikan. Membina atau tidak hanyalah penerimaan sesaorang saja. Ia banyak bergantung kepada keupayaan dan pengawalan diri sendiri. Ia banyak melibatkan faktor keyakinan diri. Dari sudut agama pula, ia berkisar kepada tingkat kesabaran, redha serta makrifatullah sesaorang.

Dalam AlQuran, selain menyidir orang-orang kafir, Allah sering juga mengkritik orang-orang Islam yang tidak menggunakan akal fikiran mereka. Allah kritik mereka kerana tidak yakin dengan Qada' dan Qadar, hari pembalasan serta sifat-sifat Allah. Allah perintahkan orang-orang Islam supaya berfikir dan mengkritik diri sendiri untuk mencari kebenaran.

Kenapa takut dengan kritikan? Salah satu kerana rasa rendah diri. Ia melihat kritikan itu sebagai serangan pribadi. Seolah-olah mengiyakan segala yang dirasakan tentang dirinya. Kritikan dianggap sebagai confirmation tentang kekurangan-kekurangan yang dimiliki. Mungkin juga prasangka-prasangka yang sudah sedia wujud terhadap orang yang mengkritik.

Dari reaksi yang timbul, dapat dibaca keadaan orang yang kena kritik. Ada yang membalas secara ganas. Ada yang menyerang balik dengan kritikan. Ada yang menyimpan dendam dan berhasrat untuk membalasnya. Ada yang terus merajuk. Ada yang rasa makin tidak berguna. Ada yang terus mendoakan orang tersebut kena balasan yang buruk. Ada yang tidak puas hati dan rasa dizalimi. Ada yang rasa dianiaya. Ada yang menangis.

Jarang yang tersenyum ketika mendengar kritikan. Jarang yang merasa seronok mendapat kritikan. Jarang yang melihat kritikan sebagai membawa kebaikan. Jarang yang minta kena kritik. Jarang yang anggap kritikan boleh meningkatkan ketahanan diri. Jarang yang menerima kritik seadanya tanpa perlu response.

Bagaimana sesaorang itu berhadapan dengan kritikan? Bila kritikan yang diterima adalah positif, tidak dianggap kritikan tetapi sebagai komen atau penghargaan. Bila kritikan yang diterima berbentuk negatif, dianggap sebagai mencela, menghina dan berniat untuk menjatuhkan.

Sebenarnya, jika sesaorang itu sedar yang dalam dunia ini ada berbagai bentuk dan ragam manusia, dia tidak akan begitu terjejas sangat dengan komen atau kritikan. Sebabnya, walau apa pun yang dilakukan, tetap tidak akan dapat memuaskan hati semua orang. Rasulullah s.a.w sendiri yang dipuji akhlak baginda oleh Al-Quran dan Allah s.w.t, tetap dikritik oleh ramai orang. Hingga kini pun, masih ada juga orang yang masih hendak kritik baginda Rasul. Apa lagi kita yang sudah sememangnya kurang sempurna dan penuh dengan kelemahan.

Beza seorang yang punya keyakinan diri dengan seorang yang rendah keyakinan dirinya. Seorang yang berkeyakinan diri, bila dikritik, dia tidak akan terus bertindak. Dia fikirkan dahulu jawapan yang sesuai atau samada perlu dijawab ke tidak. Dia tidak "react" tapi "respond".
React ertinya waktu itu juga dia bertindak tanpa berfikir. Di ketika itu, yang menguasainya adalah emosi serta egonya. Dia membiarkan orang lain menguasai dirinya. Dia membenarkan orang lain sewenang-wenangnya menentukan perasaannya. Respond pula bererti dia mempunyai daya kawalan yang tinggi. Dia tidak membenarkan orang lain menguasi perasaannya sesuka hati. Dia yang tentukan samada hendak marah, hendak diamkan atau hendak menjawab. Orang yang mengkritik terpaksa menunggu reaksi darinya. Kalau niat orang tersebut tidak baik, maka dia terpaksa menunggu kepuasan yang ingin dikecapi dengan melihat orang yang kena kritik marah. Tapi kalau niat orang tersebut untuk menasihat, dia juga kena tunggu samada nasihatnya diterima atau tidak. Dengan lain perkataan, orang yang mengkritik yang merasakan egonya yang tercabar bukan orang yang kena kritik.

Bagi orang yang berilmu, tidak akan memberi kritikan atau menjawab kritikan sebarangan. Sebab dia faham, setiap yang diluahkan oleh lidah, akan dipertanggung jawapkan. Jika kritikan yang diberi tidak tepat (berdasarkan fakta yang salah, prasangka,dendam), boleh dianggap tuduhan dan fitnah. Dianggap berdosa besar. Jika jawapan kepada kritikan juga tidak tepat dan berlebihan (tidak faham maksud kritikan, rasa tercabar, sifat bermusuhan), juga akan dipertanggung jawabkan. Apa pun, jika kritik-mengkritik ini menimbulkan putusnya silaturrahim, maka kedua-dua akan menerima azab Allah s.w.t.

Bagi diri ku, aku suka kena kritik. Dari usia ku 5 tahun, hari pertama aku ke sekolah K1 aku sudah kena kritik oleh guru. Sepanjang usia ku setakat ini, sering kena kritik. Sehingga aku risau bila aku buat sesuatu tidak dikritik. Aku rasa seperti tidak diberi perhatiaan. Setiap kritikan aku jadikan garis ukur yang aku belum sampai ketahap yang sepatutnya. Aku akan berusaha lebih baik lagi. Melalui banyaknya aku terima kritikan, aku belajar menilai kritikan yang diberikan dan meletakkannya ditempat yang sesuai.

Dua minggu lepas, aku minta lecturer aku kritik projek tugasan yang aku serahkan. Aku minta dia beri komen supaya aku tahu dimana posisi ku dalam bidang yang aku dalami. Aku menunggu dengan tidak sabar jawapan dari beliau.

No comments: