Thursday, December 20, 2007

Pengorbanan

Tarikh 10 Zulhijjah 1428. Hari Raya Aidil Adha. Di sana sini, khutbah menyebut tentang pengorbanan dan ertinya. Begitulah tiap-tiap tahun. Bila tiba Hari Raya Aidil Adha, topik yang disentuh berkaitan dengan pengorbanan. Diceritakan semula sejarah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Juga pengorbanan yang perlu ditempuh oleh jemaah-jemaah haji yang sedang berada di Mina.


Apakah erti pengorbanan? Tentulah tidak sama bagi setiap orang. Bagi seorang bapa, tentulah mencari nafkah, memberi pelindungan kepada keluarga merupakan pengorbanan. Bagi seorang ibu, mengandung, menyusu dan mendidik dengan penuh kasih sayang merupakan pengorbanan. Bagi seorang anak, melakukan ketaatan dan melakukan apa yang disukai oleh orang tuanya merupakan pengorbanan.

Bagi seorang guru, meluangkan masa dan tenaga bagi memastikan anak-anak didik menjadi insan berguna merupakan pengorbanan. Bagi warga kerja, melaksanakan tugas yang diberi dengan jujur, sempurna dan penuh tanggung-jawab meruapakan pengorbanan. Bagi pemimpin negara, memastikan kepentingan rakya terjaga, maruah negara dihormati, dan memastikan rakyat terlindung dari ancaman merupakan pengorbanan. Banyak lagi contoh-contoh yang boleh disebutkan.


Tahun ini aku bertemu dengan individu-individu yang memaparkan pengorbanan-pengorbanan yang lebih dari biasa. Seorang teman, yang mempunyai anak seramai empat orang, dan suaminya mengalami penyakit barah tahap 4, menonjolkan pengorbanan yang mulia. Dialah yang menjadi bapa dan ibu. Disamping itu, dia tetap tidak mengabaikan tanggung-jawabnya kepada Allah dan masyarakat.


Seorang pelanggan, mempunyai anak yang sedari lahir mengidap jantung berlubang. Sehingga usia dua tahun, masih belum mampu melakukan aktiviti seperti kanak-kanak seusia. Kedua-dua orang tuanya, begitu komited menjaganya walaupun memerlukan wang ringgit, masa dan tenaga yang tidak terkira.


Seorang kenalan, yang sejak lima belas tahun lepas, menjaga suaminya yang lumpuh. Dia yang membesarkan anak-anaknya seramai lima orang. Kelima-lima orang anaknya berjaya dalam pelajaran dan kesemua mereka mempunyai akhlak yang baik dan sangat mementingkan agama.


Semua contoh-contoh di atas membuat aku berfikir sejenak. Apa pula pengorbanan yang telah aku lakukan? Sukar juga untuk menjawab soalan ini kerana dalam salah satu surah Al-Quran, Allah ada berfirman yang kita tidak mungkin dapat melakukan kebaikan melainkan dengan izinNya. Ertinya, bukan semua orang dapat melaksanakan pengorbanan yang memberi makna. Hanya orang-orang yang diizinkan Allah, diberi peluang untuk meraih pehala yang sangat besar ganjarannya, yang diberiNya peluang. Jadi, kepada sesiapa yang diberi peluang ini, berhiburlah, dan anggaplah ini sebagai anugerah kerana bukan semua yang memperolehinya.


No comments: