Thursday, December 20, 2007

Melayu dan Kesihatan.

Aku tahu aku sengaja mengundang kritikan dengan topik ini. Topik makan dan topik-topik yang sewaktunya, sangat sensitif dan boleh menimbulkan perbahasan sengit. Tapi dengarlah dahulu pandangan ku. Anda diberi hak untuk tidak setuju.

Aku didorong untuk menukar bidang dari IT kepada bidang rawatan dan holistis care bila aku membaca statistik masalah kesihatan orang-orang Melayu lebih lima tahun dahulu. Aku begitu ingin mengetahui punca dan masalah serta turut sama mencari huraian kepada masalah ini. Aku pun orang Melayu. Cubit peha kiri, peha kanan pun terasa sakit.

Merah padam telinga aku bila mendengar ucapan PM dalam salah satu rapat hari kebangsaan. Ketika itu, isu kasino dan keperluaannya sedang hangat dibincangkan. Salah satu alasan yang diberi bagi menyokong ialah bagi menampung biaya sosial yang semakin meningkat. PM bukan saja menyentuh tentang bertambahnya golongan tua di masa hadapan, tapi secara lembut menyentuh tentang masalah sosial orang Melayu yang boleh dianggap membebankan ekonomi negara jika tidak ditangani. Berbagai statistik "kesehatan" sosial orang melayu dibentangkan untuk beberapa hari di akhbar-akhbar. Jelas, data-data tersebut telah dikumpulkan secara teliti dan tepat. Sepintas lalu, kita diajak untuk bersetuju menerima cadangan ini kerana salah satu manfaatnya ialah untuk orang melayu sendiri.

Sebagai generasi yang telah banyak memperolehi manfaat dari sistem pemerintah yang kuat, aku anggap ini sebagai cabaran. Aku terjun botol dan memasuki bidang ini. Aku ikuti kursus-kursus dan membaca apa saja yang boleh menambah pengetahuan ku. Mentelah, pengalaman ku bekerja di hospital untuk jangka yang lama, telah mendedahkan aku kepada berbagai bidang rawatan dan teknologi serta pertemuan terkini. Aku juga mendapatkan khidmat nasihat dari seorang Assoc Prof dalam bidang kedoktoran.

Mulanya, aku tidak punya strategi. Aku tidak tahu bagaimana nak mulakan. Alhamdulillah, aku mempunyai seorang kakak angkat yang mengajar agama di rumah. Melaluinya, aku dikenalkan kepada beberapa pelajar dewasanya yang sememangnya menjadi target aku. Aku mengadakan small group discussion. Aku edarkan bahan-bahan bacaan yang telah aku alih-bahasa kepada bahasa melayu. Aku terangkan tentang kepentingan menjaga kesihatan. Aku sentuh tentang pemakanan yang sihat dan senaman yang berkesan.

Peringkat awal, aku hanya ingin mengubah cara mereka berfikir. Aku ingin mereka sedar yang kesihatan tidak boleh di take for granted. Sebagai orang Islam, yang dinilai nanti, ialah diakhir garisan, iaitu di akhir hayat kita, bagaimana kehidupan kita. Melihat begitu ramainya orang melayu/Islam yang tidak mampu menjalankan ibadah mereka dengan sempurna di usia-usia genting, aku menjadi rungsing. Ramai yang terkena berbagai penyakit serius sehingga menghalang mereka dari dapat melaksanakan ibadah mereka di waktu reserve sedangkan di waktu muda tiada berkesempatan melakukannya. Apakah bekalan yang akan di bawa di depan Allah nanti, itulah soalan yang sering memenuhi minda ku.

Berbagai cabaran yang perlu aku hadapi. Sikap orang melayu terhadap kesihatan sangat sulit untuk diubah. Pertama, mereka hampir-hampir tidak mahu menerima hakikat yang pemakanan yang menjadi punca penyakit. Walaupun di bawakan berbagai hadith Rasul pun, mereka tetap tidak mahu menerima. Kedua, mereka mengatakan semuanya sudah ditakdirkan. Mereka ditakdirkan untuk jadi gemuk dan berpenyakit. Mereka perlu sabar dan redha. Pelik juga, masa lahir dahulu dan masa muda belia, comel-comel belaka. Mereka menggunakan alasan penyakit berupa ujian untuk menebus dosa-dosa mereka. Tapi mereka lupa, bukan ujian mereka saja, tapi keluarga turut terkena. Kalau semua sabar dan redha tak mengapa. Tapi, sampai putus harap dan mengeluh dan membebankan orang lain, bagaimana pula?

Ketiga, mereka gunakan alasan keturunan. Bila ditunjukkan bukti yang perkara ini tidak 100% benar, mereka tetap menolak. Keempat, mereka hanya ingin memilih jalan yang paling mudah. Ini yang sangat memeningkan kepala. Mereka ingin mencari "penawar" gemuk yang boleh menyelesaikan masalah dengan cepat tanpa perlu mengubah cara hidup. Sedangkan mereka telah mengalami masalah berpuluh tahun.

Orang melayu juga tidak meletakkan keutamaan pada tempat yang tepat. Mereka tidak sanggup mengeluarkan modal untuk menjaga "peralatan-peralatan" yang Allah berikan secara percuma kepada mereka yang sudah tentu tiada spare-parts, tapi mereka sanggup habiskan ribuan dollar untuk peralatan-peralatan rumah dan hiburan yang senang diperolehi. Sikap ini sangat berbeza dengan bangsa Cina yang meletakkan kesihatan di keutamaan teratas. Orang Cina mengaitkan kesihatan dengan kekayaan. Orang Melayu mengaitkan kekayaan dengan penyakit.

Satu kisah menarik, pernah ibu ku pulang ke rumah setelah bertemu teman-temannya. Ibu ku sesekali pulang ke Singapura. Dia bertanya, betul ke dia tiada menanggung apa juga penyakit. Bila aku tanya seterusnya, dia kata dia rasa ganjil kerana semua teman-temannya kolong blok berbincang tentang penyakit dan ubat-ubatan mereka dan berapa tinggi kos rawatan yang diperlukan. Setiap seorang seolah-olah bangga mengistihar jumlah yang dikeluarkan sehingga ibu ku rasa kurang selesa. Pelik.

Selain masalah mindset, aku juga berhadapan dengan sikap opportunis orang-orang kita. Ada pihak yang sanggup ambil kesempatan dengan menawarkan "produk-produk ajaib" bagi mengatasi masalah-masalah yang pakar-pakar sendiri belum ada jawapan. Aku kadang-kala hilang sabar bila berhadapan dengan mereka yang terlibat dengan MLM yang menjual produk-produk yang mereka sendiri tidak pernah cuba, tidak tahu secara mendalam, tidak mengkaji sendiri tapi sekadar mendapat info dari orang-orang bukan Islam. Mereka didorong oleh keinginan mencari keuntungan.

Beberapa kali aku perlu berhadapan dengan mereka ini. Banyak kali aku tegur sikap mereka. Aku sedarkan mereka tanggung-jawab mereka kepada bangsa dan agama. Jangan jadi penghianat bangsa dan agama sendiri. Jangan rosakkan bangsa kita dari dalam dengan janji-janji kosong yang diterima bulat-bulat dari orang-orang bukan Islam yang sudah semestinya didorong untuk mencari keuntungan dunia saja. Ramai yang tidak suka dengan sikap aku ini. Tapi aku tidak peduli. Setiap kali aku diajukan satu produk dari mereka yang tidak mengenali aku, aku akan tanya habis-habis tentang produk tersebut. Aku "drill" sampai dia sendiri sedar yang dia sendiri tidak tahu produk yang ingin dijualnya.


Sedih juga hati aku bila melihat makcik-makcik yang kaki-kaki mereka kena belah sana, kena ganti sini. Jalan pun tidak betul lagi. Tapi, geram juga, bila masih berebut nak beli pakaian Hejab Iran bila ada sales. Bapa teman ku baru-baru ini kena stroke Doktor sudah berpesan elak makanan manis dan berlemak kerana dia mengidap 3-serangkai. Bukan kitab agama. Penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi. Sehari sebelum dia kena stroke, dia pergi ke pusat makanan dan makan lontong dan cendol. Keesokkan harinya, terus koma. Sekarang dia terlantar. Yang susah, istri dan anak-anak.

Aku tidak punya ramai pelanggan melayu. Mereka tak suka pada ku sebab aku berterus terang. Ada kalanya aku katakan aku tidak boleh bantu mereka. Lebih-lebih lagi yang terkena penyakit gout. Aku tolak mentah-mentah. Aku beritahu mereka kalau mereka tidak mahu pantang dan melakukan sedikit kegiatan fizikal untuk keluarkan peluh, jangan panggil aku datang. Garang juga aku ya! Tapi untuk kebaikan mereka juga.

Anda di luar sana, mana yang termakan cili, maaflah. Sebagai penuntut makrifatullah, aku sepatutnya lebih memahami. Aku sepatutnya bersabar. Tapi apa nak buat, sudah aku ditakdirkan menjadi seorang yang kritikal. Sudah dituliskan begini. Jangan marah ya!

No comments: