Saturday, December 29, 2007

Maaf, saya pun orang Melayu

Aku kalau tidak ada kerja, aku akan masuk ke dalam forum-forum online. Aku suka membaca pandangan orang lain serta "menangkap feel". Lebih-lebih lagi forum yang melibatkan orang-orang Islam dan khususnya orang-orang Melayu. Baru-baru ini, pensyarahku telah memberi komen iaitu walaupun terdapat lebih dari satu bilion orang Islam dalam dunia, tapi qualitynya hanya seperti sebanyak satu juta saja. Inilah keluhan pensyarahku yang banyak terlibat dalam persidangan-persidangan antarabangsa.

Aku pernah terjumpa online forum yang dimiliki oleh e-citizen. Aku membaca komen-komen yang terdapat di sana. Isu yang dibincangkan ketika itu ialah berkenaan kereta-kereta orang Islam yang tidak disaman ketika solat Jumaat. Aku lihat, selama hampir dua minggu, komen-komen yang diberikan membincangkan isu tersebut. Lebih ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati. Rata-rata aku dapat rasakan mereka seolah-olah merasa "ketidak adilan" yang berlaku. Agak emosi dan ada unsur perkauman sedikit. Bagaimana pun, tiada satu pun komen dari orang Melayu untuk membetulkan keadaan.

Aku buat keputusan untuk masuk dan memberikan pandangan. Aku beritahu, sebenarkan isu ini sangat remeh. Pihak yang prihatin hanya perlu bertanya kepada pihak penguasa iaitu LTA mengapa kereta-kereta itu tidak disaman. Aku juga beritahu yang setiap mesjid telah menulis memohon keizinan untuk program-program khas seperti solat Jumaat dan syarahan. Kemudiaan, secara sengaja aku telah sarankan pihak gereja, kuil, temple untuk bersikap proactive dan mencontohi sikap pentadbir mesjid. Aku akhiri dengan menasihatkan mereka supaya jagan buang masa dengan isu-isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Keesokan harinya, aku cuba pergi forum ini, tapi telah ditutup. Kuang asam betul.

Dua minggu lepas, aku masuk ke forum yang asing buatku. Aku masuk ke ruang mencari jodoh yang melibatkan calon-calon Muslim dari seluruh dunia. Saja aje aku ingin menilai sendiri bakal-bakal suami/istri yang diharapkan akan melahirkan dan menjana generasi masa depan. Aku sendiri kurang pasti samada butiran diri yang diberikan benar atau palsu. Tapi, menarik juga membaca "keinginan-keinginan" serta "harapan-harapan" lelaki dan wanita Islam ini. Aku sempat juga chatting dengan beberapa ahli forum. Kesimpulan aku, lepas beberapa hari, aku cukup jemu. Aku rasa betul juga komen pensyarah ku.

Kemudian, aku telah masuk ke forum yang dikendalikan oleh seorang kenalan. Aku suka masuk ke forumnya untuk membaca tulisan-tulisannya. Dia dapat menarik ramai dari berbagai bangsa untuk memberi komen. Teruk juga dia kena hentam kerana pandangan-pandangannya yang agak pedas. Lebih pedas dari aku ini,

Yang aku nak sentuh ialah beberapa komen yang menyentuh tentang orang Melayu. Geli hati pun ada, sedih pun ada, geram pun ada. Penulis forum ini memanglah bertujuan untuk menonjolkan ketidak prihatinan masyarakat melayu dengan isu-isu tertentu yang melibatkan kehidupan mereka sendiri. Ada pihak yang merasakan dia seolah-olah memusuhi bangsanya sendiri. Dia dikecam dan dituduh sebagai berat sebelah, tidak terbuka, mengkhianati bangsa dan berbagai-bagai lagi dengan lagu yang sama. Ada juga orang-orang bukan Melayu yang turut sekaki untuk menambahkan asam dan garam dalam rencah ini.

Menariknya, yang tidak setuju, begitu emosi sekali mempertahankannya. Mereka menyuruhnya berhenti dari menulis kritikan. Ada juga yang mencabarnya turun padang dari jadi pengkritik komputer. Ada yang tuduh penulis pengecut. Pada ku, orang-orang yang beremosi begini pelik sedikit. Ialah, penulis itu kan Melayu, jadi kalau dia tepuk air di dulang, tentulah kena muka dia sendiri. Jadi, dia sedar apa yang dia tulis itu. Atas perasaan ingin turut sertalah dia menghabiskan masa menulis dan memberikan buah fikirannya. Tentang kaedah yang digunakan, sepatutnya tidaklah menjadi isu. Kerana pena atau perkataan lebih tajam dan terbukti boleh merubah dunia. Bukankah Al-Quran itu diturunkan dalam bentuk perkataan untuk mengubah manusia?

Orang yang mampu memberi buah fikiran, biarlah dia lakukan dalam capacitynya sebagai penulis. Orang yang mampu mengeluarkan harta-benda, lakukanlah dengan hartanya. Orang yang mampu menyumbang tenaga empat keratnya, silalah maju menyumbang tenaganya. Kita tidak sepatutnya memperkecilkan apa juga usaha kearah memperbetulkan keadaan yang tidak benar. Kita disuruh amar maaruf dan nahi mungkar. Jadi, biarlah setiap orang melakukan dalam apa jua bentuk yang dia rasa mampu. Yang penting, buat bukan melihat tanpa merasakan apa juga dorongan atau kekesalan dalam hati. Bukankah Rasulullah s.a.w sendiri berpesan iaitu selemah-lemah iman ialah menentang kemungkaran dalam hati. Jadi bagi mereka yang merasakan perbuatan yang salah tidak perlu ditegur, baik check balik iman masing-masing. Takut sudah kontang.

No comments: