Saturday, December 29, 2007

Lintas Agama

Baru-baru ini aku terbaca berita diakhbar tentang lintas agama. Aku yakin ada yang tidak pernah dengar istilah ini. Secara mudah, ia membawa makna kesefahaman agama atau religious tolerence. Hanya isu-isu yang dikongsi oleh semua agama ditonjolkan supaya semua penganut berbilang agama dapat merasakan "keseragaman". Walaupun diartikel yang lain pula dinyatakan keseragaman agama bukan matlamatnya.

Apa pun, yang menjadi keprihatinan ku ialah perbincangan agama ini telah diadakan di sebuah masjid terkemuka di sini. Dan yang dijemput ialah seorang rohaniwan berugama Hindu. Rohaniwan ini pula telah mengarang beberapa buku berkenaan sifat-sifat Tuhan dan surah-surah tertentu Al-Quran. Bagaimanapun, dia menilainya dari sudut pandangan agama hindu dan cuba memberi perspektif "moden" yang dia harap dapat menjalin kesefahaman yang lebih baik diantara kaum.

Membaca artikel ini, aku menjadi begitu resah. Lebih-lebih lagi melihat tajuk buku-buku yang dikarang oleh penceramah ini. Bahkan, aku menjadi resah melihat banyaknya dialog-dialog silang agama yang semakin kerap diadakan di sini. Perkara ini pula telah disokong oleh beberapa cendiakawan sejauh malaysia yang merasakan negara kita telah mengorak langkah yang betul. Kita dipuji sebagai telah menghidupkan kembali budaya perdebatan antara agama yang telah menjadi tradisi para ulama zaman silam.

Padaku, mengadakan perbahasan antara agama tidaklah salah. Malah di Malaysia sendiri, ilmuan terkenal di sana seperi Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menyokong dialog antara penganut agama tetapi bukan untuk membincangkan hal-hal akidah tetapi untuk membincangkan hal-hal berkaitan moral kemasyarakatan yang semua penganut agama boleh berkerjasama. Mereka juga selalu menyatakan bahawa penganut pelbagai agama harus berkejasama dalam melawan arus penghakisan makna kerohanian dan akhlak dalam kehidupan tempatan dan antarabangsa. Mereka juga selalu menegaskan bahawa disamping perlunya melihat persamaan dalam hal-hal tersebut, perbezaan yang terdapat dalam pelbagai agama, khasnya dalam hal-hal akidah harus difahami. Untuk menyatakan bahawa semua agama adalah sama di peringkat metafizik atau transenden adalah amat mengelirukan. Bagi Profesor Wan Mohd Nor pula, menerima perbezaan dan memberi hak setiap agama itu ditafsir oleh golongan berwibawa dalam agama itu dan diberikan kebebasan agama itu diamalkan adalah tanda toleransi beragama yang sebenar.

Aku merasa bimbang, sama ada kita telah mempunyai cukup calon ilmuan yang dapat ditampilkan untuk berhujah dan berbincang dengan tepat dan penuh ilmiah. Ketika zaman kegemilangan Islam dahulu juga, banyak berlaku perbincangan-perbincangan begini. Bahkan, bila dikaji sejarah, berlaku juga banyak kekeliruan-kekeliruan yang berpunca dari bermacam pandangan yang diberikan. Akhirnya, umat Islam sendiri yang rugi sehinggalah bangkit beberapa tokoh besar seperti Imam Ghazali yang membetulkan keadaan.

Tanpa mempersoalkan ketokohan beberapa ulama setempat, aku masih juga khuatiri. Ini kerana sejak sekian lama, kita ketandusan ulama-ulama dan cendiakawan yang berkaliber. Jika dilihat sepuluh tahun kebelakang, hampir tiada kegiatan perbincangan ilmiah yang dijalankan. Perbincangan secara ilmiah bukan menjadi tradisi kita. Bahkan, banyak diantara lulusan agama yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam perbincangan-perbincangan ilmiah secara terbuka. Persoalannya, tanpa latihan yang mencukupi, mampukah wakil-wakil kita tampil kehadapan untuk menjawab serta menerangkan dengan tepat dan benar pandangan Islam tentang sesuatu isu. Mampukah mereka memberi gambaran yang tepat secara ilmiah serta menjawab soalan-soalan yang dikemukakan? Ilmuan agama lain pula bukan calang-calang orang nya. Mereka sudah bergiat dalam bidang penyelidikan agama sekian lama . Mereka sangat tahu dan mahir tentang perbezaan-perbezaan agama.

Aku jadi resah sekiranya melalui perbincangan-perbincangan yang diadakan akan menambahkan lagi kekeliruan masyarakat Islam. Ketika ini, kita sudah pun berhadapan dengan berbagai kekeliruan yang masih belum diatasi. Pandangan hidup individu Islam dalam masyarakat majmuk kelihatan seperti masih kabur dan belum jelas. Aku bimbang sekiranya dengan banyaknya "pandangan-pandangan moden" akan mempersulitkan lagi usaha untuk memperjelaskan lagi serta mengembalikan identiti Islam yang sudah semakin sukar diketahui. Malah orang bukan Islam juga akan lebih-lebih keliru akan makna dan ajaran Islam yang telah difahami dan dimalkan sekian lama.
.

No comments: