Thursday, July 31, 2008

Nina - gadis keliru yang ingin murtad

Gadis manis berusia 19 tahun ini dikenalkan kepada ku oleh teman sedarjahnya. Kedua-duanya menjadi "anak angkat" ku selama lebih sebulan untuk membuat persiapan menghadapi peperiksaan GCE "A" mereka. Mereka menetap di rumahku. Kebetulan ketika itu baru nak masuk bulan Ramadhan. Sebelumnya aku pernah juga mengambil "anak angkat" bila diminta oleh teman-teman yang merasa sukar menguruskan anak-anak mereka.

Di pringkat awal, Nina (nama samaran) kelihatan seperti remaja-remaja lain. Setiap kali diajak solat, beliau mengatakan sedang uzur. Aku langsung tidak menyangkakan apa-apa kerana teman yang mengenalkannya pada ku,Nora (nama samaran), telah aku kenal sejak dia masih kanak-kanak lagi. Dia anak sulung kakak angkat ku yang merasa amat tertekan dengan sikap dan perangai anak gadis remajanya ini.

Aku sekadar memerhatikan kedua mereka dan bertanya khabar bila perlu saja. Aku juga menawarkan bantuan sekiranya mereka menghadapi masalah dalam pelajaran. Jika meeka silap, aku "slow-talk" dengan mereka. Setiap sahur aku akan kejutkan mereka dan waktu berbuka sekiranya aku pulang lewat, mereka akan membeli makanan mereka sendiri.

Satu hari aku pulang awal dan sempat memasak untuk berbuka puasa. Aku telah mengirim SMS kepada Nina dan beritahunya supaya tidak membeli makanan kerana aku telah masak untuknya dan Nora. Malam tu kami makan bersama walaupun Nina tidak berpuasa. Melihat dia begitu berselera sekali makan aku pelawa dia habiskan semua lauk yang dia suka. Nina kemudian telah mengejutkan aku dengan katanya "No body ever cook dinner for me". Wajahnya kelihatan sedih semasa meluahkannya. Ini membuat aku mengambil perhatian.

Keesokan harinya, tanpa kehadiran Nina, aku telah bertanya Nora latarbelakang Nina. Nora sebenarnya keberatan untuk berterus-terang tapi aku mampu mencungkil beberapa info tentang Nina. Aku sudah tahu Nina bekas pelajar madrasah sepenuh masa. Setiap hujung minggu beliau perlu bekerja. Nina tidak solat dan tidak puasa. Berbeza dengan Nora, dia juga tidak berpakaian menutup aurat. Dan menurut Nora, Nina perlu hadiri kaunseling sebulan sekali bersama Ustaz di tempat madrasah lamanya.

Selang dua minggu peperiksaan akan bermula, aku berpeluang berbual dengan Nina tanpa kehadiran Nora. Aku bertanya beliau tentang tugas hujung minggunya. Menurut Nina beliau telah bertugas sebagai child-minder sejak usia 10 tahun lagi. Beliau bertugas di tempat kerja ibunya. Aku telah bertanya adakah beliau akan mengambil cuti hujung minggu itu kerana peperiksaan akan bermula.

Nina kelihatan seperti kebingungan. Beliau tidak pasti samada beliau boleh lakukan kerana selama ini beliau takut untuk minta cuti. Melihatnya begitu, aku ajarkan apa yang perlu dia katakan kepada supervisornya untuk mendapat kelepasan. Nina setuju. Kemudian aku tanya dia lagi, selepas exam nanti, apakah yang akan dia lakukan. Nina jawap dia akan terus bekerja di tempat yang sama.

Aku tanya Nina tidak kah dia teringin untuk melakukan sesuatu yang berbeza dan merasa pengalaman yang baru. Nina menjawab, ibunya yang menentukan segalanya. Ibunya yang ingin dia meneruskan pelajaran ke peringkat "A" dan kemudian mengambil diploma dalam bidang yang sama dengan ibunya. Aku bertanya adakah itu yang dia inginkan? Nina jawab, soalan itu tidak pernah difikirkannya kerana selama ini ibunya yang membuat semua keputusan.

Kemudian, aku bertanya bagaimana dengan bapanya? Nina kelihatan sedih. Dia bercerita iatu ibu-bapanya telah bercerai sejak beliau berusia 5 tahun. Bapanya telah bernikah semula dan mempunayi beberapa orang anak lain. Dia mempunyai beberapa adik sebapa. Menurut Nina, sesekali beliau berjumpa juga dengan keluarga bapanya. Melalui ceritanya aku dapat kesan perasaan sedih bercampur marah yang ada dalam dirinya. Bahkan, sepanjang aku kenal dia, aku rasakan ada semacam perasaan marah yang disimpan dalam dirinya yang cuba diselindungkan.

Perbincangan pagi itu aku akhiri dengan hanya menasihatkannya untuk berfikir tentang peperiksaan dahulu. Aku juga katakan kepadanya, supaya mencuba bidang baru semasa cuti nanti untuk memperoleh kepelbagaiaan pengalaman sebelum memutuskan jurusan apa yang ingin diambilnya nanti.

Hari Raya tahun itu, aku tidak pulang ke kampung. Aku sambut sendirian di rumah. Selepas sehari Nina kembali ke rumah ku. Kami dapat berbincang tanpa kehadiran Nora. Nina sangat ghairah ingin bercerita. Beliau nyatakan telah pun mendapat cuti dari tempat kerjanya. Beliau juga mula berkongsi masalah dia dengan teman-teman sekolah. Dia merasakan mereka semua tidak suka padanya kerana dia dianggap sebagai "cheap" kerana punya ramai teman lelaki.

Aku sekadar katakan padanya, gadis cantik sepertinya sudah tentu diiri-hati oleh ramai teman-teman. Dia tidak harus ambil hati selagi dia tidak lakukan apa juga kesalahan. Berkawan dengan lelaki selagi dalam batas tertentu tidak menjadi masalah. Aku sendiri berkongsi yang dahulu aku lebih senang berkawan dengan lelaki dari wanita.

Kemudian aku telah bertanya tentang ibu Nina. Dia memberitahu, ibunya kerap ke America kerana mempunyai teman lelaki di sana. Aku tanya jika ibunya tiada, siapa yang menguruskan dia dan abang dia. Nina jawap, dari kecil dia uruskan dirinya sendiri. Dengan sedih Nina menambah iaitu ibunya sering katakan kepadanya dia (Nina) sekadar menyusahkan hidupnya (ibunya). Ini membuat Nina sangat sedih. Mendengar itu, aku dapat rasakan kepedihan hatinya. Aku bertanya mengapa beliau dihantar ke madrasah sedangkan dari info yang aku perolehi, ibunya bersikap agak liberal.

Nina jawap, bapanya yang menyuruhnya belajar di madrasah. Aku tanya beliau pengalaman belajar di madrasah. Nina kata dia merasa seperti "orang asing" kerana dia sering kena hukum dan denda kerana sikapnya yang tidak menurut perintah. Dia dituduh biadap, keras kepala dan suka menjawab. Akhirnya, untuk menunjukkan kemarahan beliau, setiap kali keluar gate sekolah aje, beliau akan tanggalkan tudung sekolah. Perkara ini dilaporkan kepada pengetua dan beliau telah mendapat celaan. Tapi, semakin dicela, Nina kata, dia menjadi semakin degil. Dia tidak kisah setiap kali didenda dan dimalukan dikhalayak ramai.

Aku tanya Nina, apakah soalan-soalan yang dia sering tanya yang mendapat kemarahan dari guru-gurunya. Nina memberi beberpa soalan. Pada penilaian ku, soalan-soalan yang ditanyakan adalah amat baik dan menunjukkan keupayaannya untuk berfikir dan bersikap kritikal. Hanya mungkin, cara dia bertanya menimbulkan salah-faham sehingga dia dianggap biadap. Aku memberinya jawapan kepada beberapa soalan yang ditanyanya itu.

Kemudian Nina telah mengejutkan aku dengan kata-kata kerana dia sering sangat kena denda, dia telah ngaku pada kawan-kawan sekolahnya dia ingin murtad. Perkara ini telah disampaikan kepada pengetua yang berakhir dengan dia perlu menjalani kaunseling setiap bulan. Aku tanya adakah kaunseling itu berkesan buatnya. Dia kata, dia sekadar mendengar.

Aku tanya dia adakah perkara ini dibincangkan kepada ibunya. Nina jawab, bila dia beritahu ibunya yang dia ingin murtad, ibunya sekadar menjawab "Why do you think i dont pray?". Mendengar itu, aku beristighfar dalam hati. Kasihan Nina. Dari usia muda telah mendapat berbagai ujian hidup.

Kisah ini sebenarnya panjang. Unutk beberapa ketika Nina masih bersama ku, aku cuba menasihatkannya. Dia sebenarnya keliru dan bukan berniat untuk murtad. Aku suruh beliau tangguhkan apa jua keputusan sebelum beliau bersedia dan memperoleh sebanyak mungkin maklumat yang perlu. Aku juga bantu dia hilangkan perasaan marah yang begitu memendam dalam dirinya. Aku juga galakkan dia untuk membuat keputusannya sendiri dalam menentukan kehidupannya kerana ibunya bukan role model yang baik dan boleh ditauladani. Aku juga menjawab berbagai soalannya tentang Tuhan dan erti kehidupannya. Beberapa kali dia menangis tapi aku biarkan kerana itulah yang dia perlukan. Aku cerita tentang pengalaman Rasul semasa kecil untuk dijadikan perbandingan kepadanya.

Akhirnya, aku katakan padanya, sekiranya aku punya seorang anak perempuan, aku ingin anak ku mempunyai personaliti sepertinya, berani, berdikari, tidak menurut saja, boleh berfikir dan bersemangat. Aku faham jiwanya yang sering merasakan "perbezaan" dari orang lain.

Setelah tamat peperiksaan, sebelum berpisah, Nina mengembirakan aku dengan berkta dia tidak akan kembali bekerja di tempat lamanya. Nina juga telah meninggalkan nota untuk ku dengan kata-katanya yang sangat menyetuh hatiku "Thanks for being the mother that i never have". Sedihnya, Nina tambah "I admit i am confused. I need time to sort my life. I need to find my life in my own way.'

Melalui Nora, aku memantau perkembangan Nina. Aku tahu selepas exam beliau memilih untuk bekerja di sebuat pusat retail. Keputusan GCE "A" level mereka berdua agak baik dan kedua-duanya milih untuk masuk NIE. Ketika ini, Nora telah mula mengajar sedangkan Nina meneruskan ke peringkat Honours. Aku sentiasa doakan Allah bimbing Nina kerana dia seorang yang sangat berpotensi.

Kisah Nina ini meninggalkan kesan padaku. Betapa pentingnya peranan seorang ibu dan bapa kepada seorang anak. Begitu juga peranan guru dan teman-teman. Aku hanya berharap aku telah melakukan apa yang termampu dan terbaik buatnya ketika aku dizinkan untuk bersamanya.

No comments: