Monday, July 28, 2008

Menghadapi Kematian

Tahun lepas aku kehilangan tiga anggota keluarga dari tiga generasi. Abang kandung ku, berusia 44 tahun, emak saudara ku (kakak kepada ibuku), berusia 87 tahun, dan nenek saudara ku (kesayangan arwah bapaku) berusia 101 tahun.

Pemergian abang ku yang paling menjejas diriku. Walaupun sebelumnya telah mempelajari tasawuf dan ilmu makrifatullah, tapi bila berhadapan dengan kematian orang yang disayangi, sukar juga mengawal perasaan. Terbit juga rasa kesal dan rasa bersalah serta berbagai emosi lain sedangkan aku sedar semuanya adalah atas kehendak Allah s.w.t

Apa yang membuat aku rasa agak sukar menerima ialah keadaan hidup abang ku. Sejak usianya sebelas tahun, dia menjadi lumpuh setelah jatuh ketika berusia 9 tahun. Tulang belakangnya retak dan spinal fluid nya telah melilih keluar sehingga menjejas bahagian bawah tubuhnya. Hidup keluarga ku berubah setelah kejadian tersebut. Kami miskin dan aku sendiri perlu bekerja dari usia 9 tahun, masa muda ku banyak di habiskan di hospital.

Abang ku ini seorang yang tabah. Begitu juga arwah bapaku dan ibuku. Dia tidak pernah komplen atau mengeluh dengan nasib yang menimpanya. Dengan bantuan yang diterima dari sosial works dept, abang ku dapat meneruskan persekolahannya sehingga mendapat keputusan cemerlang peringkat GCE ‘O”. Aku masih ingat bagaimana aku yang lebih muda darinya, merayu dari satu JC ke satu JC untuk mendapatkan tempat baginya meneruskan pelajaran. Aku sendiri masih di sekolah menengah. Semuanya menolak kerana tiada kemudahan untuk pengguna kerusi roda.

Akhirnya, abang ku mendapat tempat di Outram Sec Sch (sekarang Outram Institute). Keluarga ku tidak dapat lupakan kebaikan semua kaki tangan dan rakan-rakan beliau yang banyak membantu sedangkan Outram adalah sekolah lama, di atas bukit, tanpa lift dan hanya menggunakan tangga yang sempit. Kalau dikenangkan, boleh ku catit berjela pahit manis bersama abang ku.

Nasibnya bertambah buruk bila sekali lagi beliau mengalami relapse dan terus koma. Ditengah-tengah malam bulan Ramadahan. Aku yang menalipon ambulance dan menemaninya ke hospital. Aku masih ingat tanpa rasa simpati pun, doktor memberi tahu abang ku boleh meninggal bila-bila masa kerana gangguan otaknya. Kerana usia ku masih bawah umur, aku terpaksa telephon bapa ku supaya datang untuk tanda-tangan operasi kecemasan.

Selama tiga bulan dia koma dan hampir setiap hari,lepas sekolah, aku menziarahinya kerana ibuku sibuk menguruskan pembuatan kueh-mueh untuk dijual disebelah malam. Buka puasa dalam bas. Hari Raya pun di hospital. Selalunya, pulang hospital aku akan membantu ibu dan disebelah malam akan ke gerai jualan. Lewat malam baru pulang. Entahlah, bila aku dapat belajar sedangkan aku ketika itu berada dalam kelas terpandai di sekolah.

Setelah separuh sedar, abang ku disuruh pulang ke rumah. Akulah yang paling banyak membantunya. Memberinya makan melalui tiub, menjaga kebersihannya dan kemudian bila beliau sedar, aku yang mengajarnya bercakap-cakap. Hanya aku seorang yang dapat faham bahasa isyarat yang digunakan. Kisah kami pernah tersiar di berita harian. Diringkaskan story, hubungan ku amat akrab.

Selama lebih 20 tahun abang ku terlantar di katil saja dan perlu diberi penjagaan sepenuhnya. Sebelum bapa ku meninggal dunia kerana cancer, ketika usia ku 22 tahun, ibu ku, bapaku, kakak ku dan abang ku telah berhijrah ke Msia. Setelah aku diberitahu bapa ku hanya ada enam bulan, aku yang sarankan beliau menikmati masa-masa akhirnya di kampung. Aku menyatakan kesanggupan menjadi ibu dan bapa kepada dua orang adik ku yang masih remaja dan bersekolah.

Beberapa tahun lepas aku telah membawanya kembali ke Singapura atas permintaannya dan menempatkan dia di Darul Syifaa’ Segala pembiayaan ditanggung oleh ku dan adik perempuan ku. Tujuan ku meletakkan beliau di nursing home, supaya beliau dapat berinteraksi dengan pesakit-pesakit lain.

Sebenarnya, abangku mempunyai peranan yang besar dalam hidupku. Aku memilih bertugas di hospital supaya aku dapat tahu perkembangan terkini dalam bidang rawatan. Kami tidak pernah putus harap untuk menyembuhkannya. Bahkan, setelah lebih sepuluh tahun dalam bidang IT, aku memilih menukar jurusan kebidang rawatan alternative kerana niat untuk membantunya. Aku rasa kurang sabar dan ingin mencuba kaedah rawatan lain. Aku sentiasa mengikuti perkembangan dibidang medikal lebih-lebih lagi berkaitan neurosciences atau urat saraf dan otak. Aku sentiasa memberi tahunya perkembangan terkini dan memberinya semangat untuk tidak putus asa.

Kematiannya merupakan satu tamparan pada ku. Selama ini, segala yang aku lakukan untuk nya. Wang gajiku aku simpan untuknya. Aku meninggalkan wasiat sekiranya aku pergi dahulu, segala simpanan dan rumah ku digunakan untuk biayainya. Aku tumpukan sepenuh perhatian mengkaji tubuh manusia dan belajar berbagai kaedah rawatan. Ku letakkan matlamat hidupku untuk membantunya.

Kematiannya begitu menjejas ku. Aku bertanya mengapa Allah jadikan dirinya sekadar untuk menjadi beban kepada orang lain? Sepanjang hayatnya, dia tidak dapat membantu diri sendiri dan sebaliknya mengharapkan bantuan pada orang lain? Aku bertanya bukankah Allah tidak jadikan sesuatu itu sia-sia? Tapi melihat hidup abangku, terasa seolah betapa “sia-sianya” hidupnya. Itulah pergolakan yang ku rasakan diperingkat awal.

Selain itu, lima hari terakhirnya, siang dan malam aku yang menemani. Aku melihat sendiri bagaimana dia menarik nafas yang terakhir. Beberapa kali sebelum itu, aku perlu menggunakan segala kepadaian ku dalam bidang rawatan untuk membantunya. Hubungan kami sangat akrab, sehingga kami mampu telepathy antara satu sama lain ketika beliau sudah semakin nazak. Pengalaman melihat kematian sangat menginsafkan tetapi membuat aku facinated. Aku merasa kagum dengan Allah s.w.t dan juga gerun betapa berkuasaNya Dia. Pemergiaannya ku redhai kerana satu kelepasan dari bebanan yang begitu lama yang ditanggungnya.

Beberapa bulan selepas kematiaannya, aku masih rasa kekosongan. Aku mash mencari jawapan tentang keperluan kewujudannya. Aku masih bertanya apa erti kehidupan. Segala perancangan ku untuk nya kini terbengkalai. Aku jadi tidak pasti apa yang perlu aku lakukan. Aku perlu mengubah matlamat hidupku. Aku perlu ubah segalanya tentang hidupku. Ini membuat aku tidak menentu. Segalanya telah berubah.

Akhirnya, aku mendapat jawapan. Walaupun kehidupan arwah abang ku seolah-olah sia-sia, hakikatnya, dia lah yang menjadi tunggak dalam keluarga. Musibah yang menimpanya menjadikan kami sekeluarga berbeza. Banyak yang tidak kami kongsi dengan orang lain erti kehidupan. Aku sendiri, sepanjang hayatnya, tidak pernah berani komplen atau mengeluh. Setiap kali melihat keadaanya, semua kesukaran yang perlu ku tanggung, aku telan dan pendamkan. Padaku, apalah jika dibandingkan dengan penderitaan yang perlu ditanggungnya. Itulah makna kehidupannya, membuat kami sekeluarga merasa betapa rapuhnya kehidupan dan betapa perlunya kami pada Tuhan Rabbul Alam.

Ya, itulah pengalaman yang telah mengubah ku. Hampir aku hilang keyakinan diri. Aku kehilangan mentor. Aku merasa lemah dan memerlukan bantuan. Alhamdulillah, akhir tahun lepas, Allah datangkan aku seorang yang sangat baik dan sangat memahami. Aku luahkan segala perasaan ku padanya. Dengan pertolongan dan bantuannya, aku dapat bangkit kembali. Bahkan, dengan nasihat dan panduannya, aku kini mempunyai makna baru kehidupan dan semangat baru untuk terus mengejar impian. Kesabaran beliau amat aku hargai. Beliau begitu ikhlas dan begitu prihatin. Tanpa rasa jemu dan penat, beliau terusan membimbing ku dan membantu ku mengenali diriku semula. Kini aku kembali tenang.

Alhamdulillahirabbil ‘alamin. Terima kasih Prof Wan, Terima kasih, Ya Tuhan.

Oh ya, mengapa baru sekarang aku nak kongsi? Sebelumnya, aku sangat sukar berkongsi perasaan atau kisah-kisah peribadi. Inilah salah satu perubahan yang telah aku alami melalui bimbingan yang diterima. Aku belajar melihat kehidupan ku dari perspektif yang berbeza dan sudah dapat let-go banyak perkara. Alhamdulillah.

No comments: