Saturday, August 7, 2010

Membicarakan Cinta Kepada Tuhan

Cinta Allah cinta hakiki kerana dikongsiNya kewujudan diriNya sendiri, diberiNya sedikit sifat-sifatNya dan af’alnya dengan manusia.

Manusia yang benar-benar cinta kepada Allah s.w.t, akan bersedia mengembalikan kewujudan diriNya kepada Yang Empunya, dengan rela “membinasakan” dirinya sendiri (ada yang menggelar sebagai fana’ billah).

Hanya manusia yang telah sampai ke maqam ini yang layak berbicara tentang cinta.

Cinta sesama makhluk tidak akan pernah sampai ke tahap ini. Contoh, seorang ibu yang menghadapi complications, tidak dibenarkan mengorbankan nyawanya demi menyelamatkan kandungannya. Perbuatan ini salah di sisi syarak. Dalam hukum fiqh ketetapan ibu yang mengandung dan menyusu, hukumnya dibahagikan mengikut sebab untuk kemaslahatan diri sendiri atau untuk anaknya.

Orang yang telah mencapai maqam cinta, sangat mencintai sesama makhluk kerana segala yang dilihatnya adalah perbuatan Kekasihnya; tidak dilihat cacat cela. Kesedarannya tetang hakikat kewujudan dirinya dan semua yang ada, mendorongnya terusan berada lama keasyikan, kerinduan.

Padanya tiada yang Wujud, melainkan wujud yang Satu/Esa.

Dia sanggup lakukan apa saja demi Kekasihnya. Hatta sekiranya diperlukan nyawa melayang demi mempertahankan Kekasihnya dari dihina, dia akan lakukan. Segala yang dimilikinya hanya untuk Kekasihnya. Masa, tenaga, harta hanyalah alat yang digunakan untuk memperoleh keredhaan Kekasihnya. Taida langsung difikirkan dirinya sendiri, keinginannya, nafsunya.

Dia sanggup berdiri, memuji Kekasihnya berjam-jam sehingga bengkak kakinya. Dia sanggup menahan lapar kerana sedar Kekasihnya cinta kepada orang yang berpuasa. Dia sanggup bersedekah, berzakat kerana dia ingin supaya hartanya digunakan untuk membahagiakan Kekasihnya. Dia bekerja, berusaha bersungguh-sungguh mencari kekayaan untuk diberikan pinjamkan kepada Kekasihnya yang Maha Pemurah yang akan membalas berlipat ganda.

Dia sanggup lakukan apa saja demi selalu dapat berdampingan dan bermesra dengan Kekasihnya. Jika dia seorang pemikir, mindanya ligat digunakan untuk memikir cara-cara menampilkan Kekasihnya supaya turut di puja oleh orang lain. Jika dia seorang ilmuan, digunakan ilmunya untuk mengajak orang mengenali dan mencintai Kekasihnya. Jika dia seorang penyair, dikarangkan puisi-puisi dengan bait-bait indah bagi mengambarkan keindahan cintanya bagi mendorong orang lain turut teruja.

Jika dia seorang pemimpin, samada besar atau kecil, dibimbingnya anak buahnya supaya bersungguh-sungguh supaya mendapat naungan Kekasihnya. Jika dia seorang peniaga, dipastikan laba keuntungan bersih dari riba dan tipu helah supaya dapat disembahkan kepada Kekasihnya tanpa cacat cela. Jika dia seorang kaya, dia mencari-cari peluang untuk menderma kepada fakir dan miskin bagi memperoleh pujian mereka yang ditujukan kepada Kekasihnya. Jika dia seorang miskin, dia bersyukur kerana sedar dia tidak dilalaikan dari mengingati Kekasihnya dari kesibukan mengurus harta.

Akhirnya, dia sedar tiada lagi yang tinggal untuk diberikan kepada Kekasihnya. Hanya kewujudan dirinya saja yang masih ada. Dan kewujudan ini juga ingin diserah kepada Kekasihnya. Tahap inilah yang dinamakan hakikat cinta yang sebenar. Selagi masih tinggal sisa-sisa dunia, maka belum lagi mencapai tahap sebenar.

Selagi kita masih ingin bersuka-suka, masih bernafsu kepada perkara-perkara yang membawa kelazatan, ertinya masih berkongsi cinta. Selagi kita mengutamakan cita selainNya, selagai kita merasakan ada yang lebih utama dariNya, selagai kita cenderong kepada perkara-perakara lain, maka kita berkongsi cintaNya dengan yang selainNya. Cinta kita bukan hakiki.

Cinta kepada Tuhan, mudah disebut tapi sukar untuk benar-benar dirasakan. Sebab itu ikhlas merupakan pra-syarat cinta. Belajar ikhlas baru mampu sampai kepada cinta sebenar itu.

Apa makna ikhlas yang sebenar? Melakukan sesuatu dengan penuh kerelaan, kesungguhan yang didorong oleh perasaan dalaman yang seni, halus dan dilakukan dengan kesedaran, tidak mengharap kepada ganjaran dan pengiktirafan. Inilah ikhlas yang sebenar-benarnya. Keinginan untuk melakukan kebaikan yang diketahui, secara otomatis tanpa ditimbang-timbang, diperbuat perkiraan keuntungan yang bakal diperolehi. Walau pun tidak beroleh apa jua ganjaran, habuan dan sebagainya, tetap tidak menjejas kepuasan yang dirasa.

Sebab itu, para sufi yang benar dan hebat tidak meletakkan syurga sebagai harapan dan neraka sebagai halangan. Pada mereka, dorongan kepada syurga masih lagi cinta diperingkat makhluk dan bukan cinta yang hakiki. Amalan mereka “membinasakan” diri mereka berkali dan setiap kali dibinasakan, Allah s.w.t akan mengembalikan kewujudan mereka sehingga sampai masa mereka kekal kembali kepada sang Kekasih. Mereka yang benar-benar melalui proses pembinasaan ini (ada yang menggelar perpisahan) semakin kelu lidah mereka sehingga tidak lagi mampu untuk menggambarkan apa yang dilalui.

Sebab itu, dalam tradisi keilmuan Islam, makna dan faham ilmu amat penting. Dan makna ilmu hanya akan diperolehi oleh diri yang aktif yang mencari, mengamalkan serta memohon anugerah dari sumberNya yang Mutlak.

No comments: