Wednesday, August 6, 2008

puisi motivasi diri

Sedar ku kini pesanan auliya
Jangan menaruh harapan pada manusia
Kelak kita menjadi mangsa
Menghabis masa, usia dalam sia-sia

Benar seperti nasihat mereka
Hanya pada Allah perlu kita berserah
Kerana manusia lemah seperti kita juga
Mereka juga diuji, disakiti dan merasa lelah

Tidak wajar meletakkan pergantungan pada manusia
Sedangkan Allah jua yang mencipta mereka
Sumber segala ilmu, kekuatan hanya dariNya
Mengapa berpaling pada yang lebih rendah?

Manusia disibukkan dengan berbagai perkara
Kebuntuhan hidupnya banyak tidak terkira
Masakan mereka dapat menampung semua
Keterbatasan mereka janganlah ditambah

Maafkan segala kelemahan mereka
Bukan keinginan mereka demikian rupa
Tapi sudah dicatur oleh yang Maha Berkuasa
Masa, tenaga, harta mereka didalam ketentuanNya

Hilangkanlah perasaan jemu dan marah
Bisikan iblis yang suka bertelingkah
Memutuskan silaturrahim sesama manusia
Menimbulkan permusuhan matlamat mereka

Doakanlah mereka lebih utama
Mohonkan bantuan Allah buat mereka
Semoga mereka dibantu dan dipermudahkan jua
Selamat dunia dan akhirat kebahgiaan kekal di Sana

Sayangilah mereka sebagai saudara
Seperti kita, mereka berusaha sedaya upaya
Mencari keredhaan Allah memburu cinta
Apakan daya kita tidak dapat bersama

Tumpukan kini kepada Pencipta
Mohonlah segala keperluan dari Yang Maha Segala
Dia amat faham kebuntuhan kita
Kita akan selamat sentiasa berpegang denganNya.


Puisi ini luahan hati untuk memujuk diriku sendiri. Sebagai manusia biasa, ada kalanya, aku juga merasa lemah dan memerlukan motivasi diri. Selalunya, aku akan meluahkan dalam bentuk puisi. Setakat ini, tidak berani lagi untuk aku kongsi dengan sesiapa kerana merasa terlalu bersifat peribadi. Takut juga disalah faham dan menimbulkan fitnah iaitu riak dan ujub. Aku sedar iblis tidak akan jemu-jemu memerangkap aku dengan berbagai caranya.