Monday, February 18, 2008

Jadi Orang Islam Mudah

Tentu pembaca pernah dengar kata-kata hikmah : Buah ilmu adalah amal dan buah amal adalah akhlak. Maka dengan itu ilmu itu mempunyai ukur taranya sendiri. Ukuran akhlak ialah perubahan keperibadian si penerima ilmu. Sekiranya dengan adanya ilmu, tidak membawa kepada perubahan yang diharapakan, maka ilmu yang dimiliki belum lagi memberi erti pada dirinya.

Setiap orang yang berilmu akan menzahirkan tahap ilmuya dengan berbagai cara. Semakin meningkat ilmu sesaorang, semakin tinggi nilai kemanusiaanya. Ini sesuai dengan ayat Al-Quran yang menyentuh tentang kelebihan orang-orang yang berilmu daripada orang-orang yang tidak berilmu.

Pandangan hidup seorang Muslim adalah sangat berbeza dari pandangan hidup penganut-penganut agama lain. Ini kerana, mencontohi kehidupan Rasulullah s.a.w sendiri, dari saat mata dicelikan sehingga saat waktu dikejamkan semula, boleh merupakan satu ibadah atau sebaliknya. Setiap detik dalam kehidupannya merupakan peluang yang akan menentukan kejayaan atau kegagalanya nanti dikehidupan barunya selepas meninggalkan kehidupan di dunianya ini.

Pandangan hidup seorang Muslim dirangkumi beberapa konsep penting. Konsep pemantauan yang menjadi salah satu rukun dalam hidupnya membezakan sama sekali perlaksaan hidupnya dari orang-orang bukan Muslim. Pengetahuannya tentang kehadiran dua makhluk pemantau ie malaikat pencatit amal, merupakan satu aspek penting. Ini kerana keyakinan tentang adanya pemantauan dan penghakiman menjadi dasar dalam setiap tindakan yang bakal dilakukannya.

Selain itu, konsep takdir atau qada’ dan qadar merupakan rukun hidupnya yang keenam, amatlah penting untuk difahamkan. Pengetahuan tepat tentang takdir akan sangat membantu setiap Muslim dalam menerima keterbatasaan dirinya dan mengetahui sempadan kemampuan atau ikhtiar dirinya sendiri dalam melaksanakan sesuatu kebaikan atau kemaksiatan.

Konsep penghukuman dan pembalasan yang diakuinya sebagai rukun dalam hidupnya adalah sangat penting. Gambaran tentang proses pengadilan yang bakal dilaluinya, keadaan di padang masyar, suasana syurga dan neraka akan membantunya menentukan matlamat kehidupannya. Seorang yang tahu matlamat hidupnya, akan lebih terdorong untuk melaksanakan segala kegiatannya untuk memenuhi matlamat yang telah diketahui.
Sebelum seorang Muslim itu dapat menerima pandangan hidup begini, ia memerlukan beberapa asas penting yang dengan itu konsep-konsep lain dapat diteguhkan. kepercayaan tentang wujudnya Tuhan, kepercayaan tentang adanya nabi-nabi dan rasul-rasul dan kepercayaan tentang adanya kitab-kitab ilmu yang disediakan untuk menyuluh dan membantu kehidupannya.

Kepercayaan tentang wujudnya Tuhan menjadi perkara yang paling pokok dan yang paling utama untuk memimpin dirinya. Pertama-tama sekali dia perlu kenal siapa dirinya dan siapa yang menjadikannya. Kedua, dia perlu tahu perbezaan-perbezaan antara dirinya dan Penciptanya. Ketiga dia perlu tahu sifat-sifat dan kehendak Penciptanya dalam konteks keperluan kehadiran dirinya.

Kepercayaan tentang kehadiran nabi dan rasul juga amat penting untuk diyakininya. Ini akan membantunya untuk sedar yang dia tidak dibiarkan sendirian mencari-cari dalam kegelapan. Dengan menyakini kehadiran manusia-manusia seperti dirinya sendiri yang diberikan keistimewaan-kelebihan tertentu, membuat dia bersedia untuk dipimpin dan menerima panduan.

Kepercayaan tentang adanya kitab-kitab ilmu pengetahuan yang telah diturunkan untuk membantunya sangatlah berguna bagi dirinya. Ini akan membuat fikiranya lapang dan tidak menyempitkan dadanya kerana sedar dia tidak perlu terpingar-pingar sendirian bagi mencari jawapan yang diperlukan. Dia hanya perlu berusaha mendapatkan sumber-sumber ilmu yang telah diketahui dan memahami serta melaksanakannya.

Melihat kepada pandangan hidup yang telah disenaraikan, maka kesimpulan yang boleh dibuat ialah kehidupan seorang Muslim itu sangat terpimpin, jelas dan sangat mudah untuk dilaksankan dan diterapkan. Bagaimanapun, realitinya, ramai orang Muslim yang tidak tahu peranannya, matlamat hidupnya dan kaedah yang dapat digunakannya.

Perkara ini bukanlah sesuatu yang menghairankan. Ini kerana Allah sendiri telah mengizinkan kehadiran ejen-ejen perosak untuk turut serta dikalangan umat manusia. Ejen-ejen perosak ini diberi beberapa keizinan untuk melakukan serangan-serangan berbentuk mental, emosi dan fizikal ke atas manusia. Berkenaan kehadiran ejen-ejen perosak ini juga telah diberitahu kepada umat manusia. Dengan itu, manusia hanya perlu berwaspada dari menjadi mangsa serangan-serangan ejen-ejen tersebut.

Dari apa yang telah dicatat di atas, maka manusia tidak boleh beralasan yang dia jahil atau tidak tahu. Semua perkara-perkara penting yang diperlukan dalam kehidupannya telah pun diberikan panduan. Manusia hanya perlu mengikuti panduan yang telah diberikan untuk beroleh keselamatan. Maka manusia yang memilih untuk tidak mengikuti panduan yang telah diberikan, maka hanya boleh menyalahkan dirinya sendiri bila mana di akhirat nanti menghadapi hukuman yang telah ditentukan. Allah s.w.t berkali berfirman yang Allah tidak menganiaya hamba-hambaNya, sebaliknya merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.