Saturday, December 29, 2007

Maaf, saya pun orang Melayu

Aku kalau tidak ada kerja, aku akan masuk ke dalam forum-forum online. Aku suka membaca pandangan orang lain serta "menangkap feel". Lebih-lebih lagi forum yang melibatkan orang-orang Islam dan khususnya orang-orang Melayu. Baru-baru ini, pensyarahku telah memberi komen iaitu walaupun terdapat lebih dari satu bilion orang Islam dalam dunia, tapi qualitynya hanya seperti sebanyak satu juta saja. Inilah keluhan pensyarahku yang banyak terlibat dalam persidangan-persidangan antarabangsa.

Aku pernah terjumpa online forum yang dimiliki oleh e-citizen. Aku membaca komen-komen yang terdapat di sana. Isu yang dibincangkan ketika itu ialah berkenaan kereta-kereta orang Islam yang tidak disaman ketika solat Jumaat. Aku lihat, selama hampir dua minggu, komen-komen yang diberikan membincangkan isu tersebut. Lebih ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati. Rata-rata aku dapat rasakan mereka seolah-olah merasa "ketidak adilan" yang berlaku. Agak emosi dan ada unsur perkauman sedikit. Bagaimana pun, tiada satu pun komen dari orang Melayu untuk membetulkan keadaan.

Aku buat keputusan untuk masuk dan memberikan pandangan. Aku beritahu, sebenarkan isu ini sangat remeh. Pihak yang prihatin hanya perlu bertanya kepada pihak penguasa iaitu LTA mengapa kereta-kereta itu tidak disaman. Aku juga beritahu yang setiap mesjid telah menulis memohon keizinan untuk program-program khas seperti solat Jumaat dan syarahan. Kemudiaan, secara sengaja aku telah sarankan pihak gereja, kuil, temple untuk bersikap proactive dan mencontohi sikap pentadbir mesjid. Aku akhiri dengan menasihatkan mereka supaya jagan buang masa dengan isu-isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. Keesokan harinya, aku cuba pergi forum ini, tapi telah ditutup. Kuang asam betul.

Dua minggu lepas, aku masuk ke forum yang asing buatku. Aku masuk ke ruang mencari jodoh yang melibatkan calon-calon Muslim dari seluruh dunia. Saja aje aku ingin menilai sendiri bakal-bakal suami/istri yang diharapkan akan melahirkan dan menjana generasi masa depan. Aku sendiri kurang pasti samada butiran diri yang diberikan benar atau palsu. Tapi, menarik juga membaca "keinginan-keinginan" serta "harapan-harapan" lelaki dan wanita Islam ini. Aku sempat juga chatting dengan beberapa ahli forum. Kesimpulan aku, lepas beberapa hari, aku cukup jemu. Aku rasa betul juga komen pensyarah ku.

Kemudian, aku telah masuk ke forum yang dikendalikan oleh seorang kenalan. Aku suka masuk ke forumnya untuk membaca tulisan-tulisannya. Dia dapat menarik ramai dari berbagai bangsa untuk memberi komen. Teruk juga dia kena hentam kerana pandangan-pandangannya yang agak pedas. Lebih pedas dari aku ini,

Yang aku nak sentuh ialah beberapa komen yang menyentuh tentang orang Melayu. Geli hati pun ada, sedih pun ada, geram pun ada. Penulis forum ini memanglah bertujuan untuk menonjolkan ketidak prihatinan masyarakat melayu dengan isu-isu tertentu yang melibatkan kehidupan mereka sendiri. Ada pihak yang merasakan dia seolah-olah memusuhi bangsanya sendiri. Dia dikecam dan dituduh sebagai berat sebelah, tidak terbuka, mengkhianati bangsa dan berbagai-bagai lagi dengan lagu yang sama. Ada juga orang-orang bukan Melayu yang turut sekaki untuk menambahkan asam dan garam dalam rencah ini.

Menariknya, yang tidak setuju, begitu emosi sekali mempertahankannya. Mereka menyuruhnya berhenti dari menulis kritikan. Ada juga yang mencabarnya turun padang dari jadi pengkritik komputer. Ada yang tuduh penulis pengecut. Pada ku, orang-orang yang beremosi begini pelik sedikit. Ialah, penulis itu kan Melayu, jadi kalau dia tepuk air di dulang, tentulah kena muka dia sendiri. Jadi, dia sedar apa yang dia tulis itu. Atas perasaan ingin turut sertalah dia menghabiskan masa menulis dan memberikan buah fikirannya. Tentang kaedah yang digunakan, sepatutnya tidaklah menjadi isu. Kerana pena atau perkataan lebih tajam dan terbukti boleh merubah dunia. Bukankah Al-Quran itu diturunkan dalam bentuk perkataan untuk mengubah manusia?

Orang yang mampu memberi buah fikiran, biarlah dia lakukan dalam capacitynya sebagai penulis. Orang yang mampu mengeluarkan harta-benda, lakukanlah dengan hartanya. Orang yang mampu menyumbang tenaga empat keratnya, silalah maju menyumbang tenaganya. Kita tidak sepatutnya memperkecilkan apa juga usaha kearah memperbetulkan keadaan yang tidak benar. Kita disuruh amar maaruf dan nahi mungkar. Jadi, biarlah setiap orang melakukan dalam apa jua bentuk yang dia rasa mampu. Yang penting, buat bukan melihat tanpa merasakan apa juga dorongan atau kekesalan dalam hati. Bukankah Rasulullah s.a.w sendiri berpesan iaitu selemah-lemah iman ialah menentang kemungkaran dalam hati. Jadi bagi mereka yang merasakan perbuatan yang salah tidak perlu ditegur, baik check balik iman masing-masing. Takut sudah kontang.

Lintas Agama

Baru-baru ini aku terbaca berita diakhbar tentang lintas agama. Aku yakin ada yang tidak pernah dengar istilah ini. Secara mudah, ia membawa makna kesefahaman agama atau religious tolerence. Hanya isu-isu yang dikongsi oleh semua agama ditonjolkan supaya semua penganut berbilang agama dapat merasakan "keseragaman". Walaupun diartikel yang lain pula dinyatakan keseragaman agama bukan matlamatnya.

Apa pun, yang menjadi keprihatinan ku ialah perbincangan agama ini telah diadakan di sebuah masjid terkemuka di sini. Dan yang dijemput ialah seorang rohaniwan berugama Hindu. Rohaniwan ini pula telah mengarang beberapa buku berkenaan sifat-sifat Tuhan dan surah-surah tertentu Al-Quran. Bagaimanapun, dia menilainya dari sudut pandangan agama hindu dan cuba memberi perspektif "moden" yang dia harap dapat menjalin kesefahaman yang lebih baik diantara kaum.

Membaca artikel ini, aku menjadi begitu resah. Lebih-lebih lagi melihat tajuk buku-buku yang dikarang oleh penceramah ini. Bahkan, aku menjadi resah melihat banyaknya dialog-dialog silang agama yang semakin kerap diadakan di sini. Perkara ini pula telah disokong oleh beberapa cendiakawan sejauh malaysia yang merasakan negara kita telah mengorak langkah yang betul. Kita dipuji sebagai telah menghidupkan kembali budaya perdebatan antara agama yang telah menjadi tradisi para ulama zaman silam.

Padaku, mengadakan perbahasan antara agama tidaklah salah. Malah di Malaysia sendiri, ilmuan terkenal di sana seperi Prof Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Prof Dr Wan Mohd Nor Wan Daud menyokong dialog antara penganut agama tetapi bukan untuk membincangkan hal-hal akidah tetapi untuk membincangkan hal-hal berkaitan moral kemasyarakatan yang semua penganut agama boleh berkerjasama. Mereka juga selalu menyatakan bahawa penganut pelbagai agama harus berkejasama dalam melawan arus penghakisan makna kerohanian dan akhlak dalam kehidupan tempatan dan antarabangsa. Mereka juga selalu menegaskan bahawa disamping perlunya melihat persamaan dalam hal-hal tersebut, perbezaan yang terdapat dalam pelbagai agama, khasnya dalam hal-hal akidah harus difahami. Untuk menyatakan bahawa semua agama adalah sama di peringkat metafizik atau transenden adalah amat mengelirukan. Bagi Profesor Wan Mohd Nor pula, menerima perbezaan dan memberi hak setiap agama itu ditafsir oleh golongan berwibawa dalam agama itu dan diberikan kebebasan agama itu diamalkan adalah tanda toleransi beragama yang sebenar.

Aku merasa bimbang, sama ada kita telah mempunyai cukup calon ilmuan yang dapat ditampilkan untuk berhujah dan berbincang dengan tepat dan penuh ilmiah. Ketika zaman kegemilangan Islam dahulu juga, banyak berlaku perbincangan-perbincangan begini. Bahkan, bila dikaji sejarah, berlaku juga banyak kekeliruan-kekeliruan yang berpunca dari bermacam pandangan yang diberikan. Akhirnya, umat Islam sendiri yang rugi sehinggalah bangkit beberapa tokoh besar seperti Imam Ghazali yang membetulkan keadaan.

Tanpa mempersoalkan ketokohan beberapa ulama setempat, aku masih juga khuatiri. Ini kerana sejak sekian lama, kita ketandusan ulama-ulama dan cendiakawan yang berkaliber. Jika dilihat sepuluh tahun kebelakang, hampir tiada kegiatan perbincangan ilmiah yang dijalankan. Perbincangan secara ilmiah bukan menjadi tradisi kita. Bahkan, banyak diantara lulusan agama yang tidak pernah terlibat secara langsung dalam perbincangan-perbincangan ilmiah secara terbuka. Persoalannya, tanpa latihan yang mencukupi, mampukah wakil-wakil kita tampil kehadapan untuk menjawab serta menerangkan dengan tepat dan benar pandangan Islam tentang sesuatu isu. Mampukah mereka memberi gambaran yang tepat secara ilmiah serta menjawab soalan-soalan yang dikemukakan? Ilmuan agama lain pula bukan calang-calang orang nya. Mereka sudah bergiat dalam bidang penyelidikan agama sekian lama . Mereka sangat tahu dan mahir tentang perbezaan-perbezaan agama.

Aku jadi resah sekiranya melalui perbincangan-perbincangan yang diadakan akan menambahkan lagi kekeliruan masyarakat Islam. Ketika ini, kita sudah pun berhadapan dengan berbagai kekeliruan yang masih belum diatasi. Pandangan hidup individu Islam dalam masyarakat majmuk kelihatan seperti masih kabur dan belum jelas. Aku bimbang sekiranya dengan banyaknya "pandangan-pandangan moden" akan mempersulitkan lagi usaha untuk memperjelaskan lagi serta mengembalikan identiti Islam yang sudah semakin sukar diketahui. Malah orang bukan Islam juga akan lebih-lebih keliru akan makna dan ajaran Islam yang telah difahami dan dimalkan sekian lama.
.

Thursday, December 20, 2007

Melayu dan Kesihatan.

Aku tahu aku sengaja mengundang kritikan dengan topik ini. Topik makan dan topik-topik yang sewaktunya, sangat sensitif dan boleh menimbulkan perbahasan sengit. Tapi dengarlah dahulu pandangan ku. Anda diberi hak untuk tidak setuju.

Aku didorong untuk menukar bidang dari IT kepada bidang rawatan dan holistis care bila aku membaca statistik masalah kesihatan orang-orang Melayu lebih lima tahun dahulu. Aku begitu ingin mengetahui punca dan masalah serta turut sama mencari huraian kepada masalah ini. Aku pun orang Melayu. Cubit peha kiri, peha kanan pun terasa sakit.

Merah padam telinga aku bila mendengar ucapan PM dalam salah satu rapat hari kebangsaan. Ketika itu, isu kasino dan keperluaannya sedang hangat dibincangkan. Salah satu alasan yang diberi bagi menyokong ialah bagi menampung biaya sosial yang semakin meningkat. PM bukan saja menyentuh tentang bertambahnya golongan tua di masa hadapan, tapi secara lembut menyentuh tentang masalah sosial orang Melayu yang boleh dianggap membebankan ekonomi negara jika tidak ditangani. Berbagai statistik "kesehatan" sosial orang melayu dibentangkan untuk beberapa hari di akhbar-akhbar. Jelas, data-data tersebut telah dikumpulkan secara teliti dan tepat. Sepintas lalu, kita diajak untuk bersetuju menerima cadangan ini kerana salah satu manfaatnya ialah untuk orang melayu sendiri.

Sebagai generasi yang telah banyak memperolehi manfaat dari sistem pemerintah yang kuat, aku anggap ini sebagai cabaran. Aku terjun botol dan memasuki bidang ini. Aku ikuti kursus-kursus dan membaca apa saja yang boleh menambah pengetahuan ku. Mentelah, pengalaman ku bekerja di hospital untuk jangka yang lama, telah mendedahkan aku kepada berbagai bidang rawatan dan teknologi serta pertemuan terkini. Aku juga mendapatkan khidmat nasihat dari seorang Assoc Prof dalam bidang kedoktoran.

Mulanya, aku tidak punya strategi. Aku tidak tahu bagaimana nak mulakan. Alhamdulillah, aku mempunyai seorang kakak angkat yang mengajar agama di rumah. Melaluinya, aku dikenalkan kepada beberapa pelajar dewasanya yang sememangnya menjadi target aku. Aku mengadakan small group discussion. Aku edarkan bahan-bahan bacaan yang telah aku alih-bahasa kepada bahasa melayu. Aku terangkan tentang kepentingan menjaga kesihatan. Aku sentuh tentang pemakanan yang sihat dan senaman yang berkesan.

Peringkat awal, aku hanya ingin mengubah cara mereka berfikir. Aku ingin mereka sedar yang kesihatan tidak boleh di take for granted. Sebagai orang Islam, yang dinilai nanti, ialah diakhir garisan, iaitu di akhir hayat kita, bagaimana kehidupan kita. Melihat begitu ramainya orang melayu/Islam yang tidak mampu menjalankan ibadah mereka dengan sempurna di usia-usia genting, aku menjadi rungsing. Ramai yang terkena berbagai penyakit serius sehingga menghalang mereka dari dapat melaksanakan ibadah mereka di waktu reserve sedangkan di waktu muda tiada berkesempatan melakukannya. Apakah bekalan yang akan di bawa di depan Allah nanti, itulah soalan yang sering memenuhi minda ku.

Berbagai cabaran yang perlu aku hadapi. Sikap orang melayu terhadap kesihatan sangat sulit untuk diubah. Pertama, mereka hampir-hampir tidak mahu menerima hakikat yang pemakanan yang menjadi punca penyakit. Walaupun di bawakan berbagai hadith Rasul pun, mereka tetap tidak mahu menerima. Kedua, mereka mengatakan semuanya sudah ditakdirkan. Mereka ditakdirkan untuk jadi gemuk dan berpenyakit. Mereka perlu sabar dan redha. Pelik juga, masa lahir dahulu dan masa muda belia, comel-comel belaka. Mereka menggunakan alasan penyakit berupa ujian untuk menebus dosa-dosa mereka. Tapi mereka lupa, bukan ujian mereka saja, tapi keluarga turut terkena. Kalau semua sabar dan redha tak mengapa. Tapi, sampai putus harap dan mengeluh dan membebankan orang lain, bagaimana pula?

Ketiga, mereka gunakan alasan keturunan. Bila ditunjukkan bukti yang perkara ini tidak 100% benar, mereka tetap menolak. Keempat, mereka hanya ingin memilih jalan yang paling mudah. Ini yang sangat memeningkan kepala. Mereka ingin mencari "penawar" gemuk yang boleh menyelesaikan masalah dengan cepat tanpa perlu mengubah cara hidup. Sedangkan mereka telah mengalami masalah berpuluh tahun.

Orang melayu juga tidak meletakkan keutamaan pada tempat yang tepat. Mereka tidak sanggup mengeluarkan modal untuk menjaga "peralatan-peralatan" yang Allah berikan secara percuma kepada mereka yang sudah tentu tiada spare-parts, tapi mereka sanggup habiskan ribuan dollar untuk peralatan-peralatan rumah dan hiburan yang senang diperolehi. Sikap ini sangat berbeza dengan bangsa Cina yang meletakkan kesihatan di keutamaan teratas. Orang Cina mengaitkan kesihatan dengan kekayaan. Orang Melayu mengaitkan kekayaan dengan penyakit.

Satu kisah menarik, pernah ibu ku pulang ke rumah setelah bertemu teman-temannya. Ibu ku sesekali pulang ke Singapura. Dia bertanya, betul ke dia tiada menanggung apa juga penyakit. Bila aku tanya seterusnya, dia kata dia rasa ganjil kerana semua teman-temannya kolong blok berbincang tentang penyakit dan ubat-ubatan mereka dan berapa tinggi kos rawatan yang diperlukan. Setiap seorang seolah-olah bangga mengistihar jumlah yang dikeluarkan sehingga ibu ku rasa kurang selesa. Pelik.

Selain masalah mindset, aku juga berhadapan dengan sikap opportunis orang-orang kita. Ada pihak yang sanggup ambil kesempatan dengan menawarkan "produk-produk ajaib" bagi mengatasi masalah-masalah yang pakar-pakar sendiri belum ada jawapan. Aku kadang-kala hilang sabar bila berhadapan dengan mereka yang terlibat dengan MLM yang menjual produk-produk yang mereka sendiri tidak pernah cuba, tidak tahu secara mendalam, tidak mengkaji sendiri tapi sekadar mendapat info dari orang-orang bukan Islam. Mereka didorong oleh keinginan mencari keuntungan.

Beberapa kali aku perlu berhadapan dengan mereka ini. Banyak kali aku tegur sikap mereka. Aku sedarkan mereka tanggung-jawab mereka kepada bangsa dan agama. Jangan jadi penghianat bangsa dan agama sendiri. Jangan rosakkan bangsa kita dari dalam dengan janji-janji kosong yang diterima bulat-bulat dari orang-orang bukan Islam yang sudah semestinya didorong untuk mencari keuntungan dunia saja. Ramai yang tidak suka dengan sikap aku ini. Tapi aku tidak peduli. Setiap kali aku diajukan satu produk dari mereka yang tidak mengenali aku, aku akan tanya habis-habis tentang produk tersebut. Aku "drill" sampai dia sendiri sedar yang dia sendiri tidak tahu produk yang ingin dijualnya.


Sedih juga hati aku bila melihat makcik-makcik yang kaki-kaki mereka kena belah sana, kena ganti sini. Jalan pun tidak betul lagi. Tapi, geram juga, bila masih berebut nak beli pakaian Hejab Iran bila ada sales. Bapa teman ku baru-baru ini kena stroke Doktor sudah berpesan elak makanan manis dan berlemak kerana dia mengidap 3-serangkai. Bukan kitab agama. Penyakit kencing manis, jantung dan darah tinggi. Sehari sebelum dia kena stroke, dia pergi ke pusat makanan dan makan lontong dan cendol. Keesokkan harinya, terus koma. Sekarang dia terlantar. Yang susah, istri dan anak-anak.

Aku tidak punya ramai pelanggan melayu. Mereka tak suka pada ku sebab aku berterus terang. Ada kalanya aku katakan aku tidak boleh bantu mereka. Lebih-lebih lagi yang terkena penyakit gout. Aku tolak mentah-mentah. Aku beritahu mereka kalau mereka tidak mahu pantang dan melakukan sedikit kegiatan fizikal untuk keluarkan peluh, jangan panggil aku datang. Garang juga aku ya! Tapi untuk kebaikan mereka juga.

Anda di luar sana, mana yang termakan cili, maaflah. Sebagai penuntut makrifatullah, aku sepatutnya lebih memahami. Aku sepatutnya bersabar. Tapi apa nak buat, sudah aku ditakdirkan menjadi seorang yang kritikal. Sudah dituliskan begini. Jangan marah ya!

Pengorbanan

Tarikh 10 Zulhijjah 1428. Hari Raya Aidil Adha. Di sana sini, khutbah menyebut tentang pengorbanan dan ertinya. Begitulah tiap-tiap tahun. Bila tiba Hari Raya Aidil Adha, topik yang disentuh berkaitan dengan pengorbanan. Diceritakan semula sejarah Nabi Ibrahim a.s dan Nabi Ismail a.s. Juga pengorbanan yang perlu ditempuh oleh jemaah-jemaah haji yang sedang berada di Mina.


Apakah erti pengorbanan? Tentulah tidak sama bagi setiap orang. Bagi seorang bapa, tentulah mencari nafkah, memberi pelindungan kepada keluarga merupakan pengorbanan. Bagi seorang ibu, mengandung, menyusu dan mendidik dengan penuh kasih sayang merupakan pengorbanan. Bagi seorang anak, melakukan ketaatan dan melakukan apa yang disukai oleh orang tuanya merupakan pengorbanan.

Bagi seorang guru, meluangkan masa dan tenaga bagi memastikan anak-anak didik menjadi insan berguna merupakan pengorbanan. Bagi warga kerja, melaksanakan tugas yang diberi dengan jujur, sempurna dan penuh tanggung-jawab meruapakan pengorbanan. Bagi pemimpin negara, memastikan kepentingan rakya terjaga, maruah negara dihormati, dan memastikan rakyat terlindung dari ancaman merupakan pengorbanan. Banyak lagi contoh-contoh yang boleh disebutkan.


Tahun ini aku bertemu dengan individu-individu yang memaparkan pengorbanan-pengorbanan yang lebih dari biasa. Seorang teman, yang mempunyai anak seramai empat orang, dan suaminya mengalami penyakit barah tahap 4, menonjolkan pengorbanan yang mulia. Dialah yang menjadi bapa dan ibu. Disamping itu, dia tetap tidak mengabaikan tanggung-jawabnya kepada Allah dan masyarakat.


Seorang pelanggan, mempunyai anak yang sedari lahir mengidap jantung berlubang. Sehingga usia dua tahun, masih belum mampu melakukan aktiviti seperti kanak-kanak seusia. Kedua-dua orang tuanya, begitu komited menjaganya walaupun memerlukan wang ringgit, masa dan tenaga yang tidak terkira.


Seorang kenalan, yang sejak lima belas tahun lepas, menjaga suaminya yang lumpuh. Dia yang membesarkan anak-anaknya seramai lima orang. Kelima-lima orang anaknya berjaya dalam pelajaran dan kesemua mereka mempunyai akhlak yang baik dan sangat mementingkan agama.


Semua contoh-contoh di atas membuat aku berfikir sejenak. Apa pula pengorbanan yang telah aku lakukan? Sukar juga untuk menjawab soalan ini kerana dalam salah satu surah Al-Quran, Allah ada berfirman yang kita tidak mungkin dapat melakukan kebaikan melainkan dengan izinNya. Ertinya, bukan semua orang dapat melaksanakan pengorbanan yang memberi makna. Hanya orang-orang yang diizinkan Allah, diberi peluang untuk meraih pehala yang sangat besar ganjarannya, yang diberiNya peluang. Jadi, kepada sesiapa yang diberi peluang ini, berhiburlah, dan anggaplah ini sebagai anugerah kerana bukan semua yang memperolehinya.


Sunday, December 2, 2007

Keliru Ilmu

Sudah sebulan aku tidak menulis. Bukan tiada masa. Tapi kerana asyik membaca buku-buku baru. Selain itu, aku telah ditawarkan untuk membantu dalam projek e-pendidikan. Perlulah aku bagi masa.

Aku punya banyak sebab untuk rasa bersyukur ke hadrat Allah s.w.t. Selain aku dizinkan melibatkan diri dalam semua kegiatan yang aku minati, aku juga diketemukan dengan orang-orang yang cintakan ilmu. Dari mereka, aku belajar membersihkan sampah sarap dalam minda ku.. Aku sangat berterimakasih kepada Ustaz Hussein, Prof Wan, Prof Naquib, Cikgu Abdullah, Ust Futhul Rahman dan banyak lagi penulis-penulis buku yang telah membuka minda ku.



Ust Hussein, guru yang membimbing ilmu makrifatullah. Sering kali idea yang dilontarkan mencabar logik ku. Banyak kali juga aku dibelenggu kebingungan dan perasaan ingin berontak. Dua bulan lepas aku menghadapi gelora minda yang sangat hebat. Ini kerana aku tidak dapat melogikkan apa yang telah Ust Hussein sampaikan. Aku frust. Aku keliru. Aku binggung. Kebetulan dalam bulan Ramadhan. Aku tidak tahu pada siapa ingin ku ajukan serta bincangkan sebab apa yang disampaikan oleh Ust Hussien tidak pernah aku dengar dari sesiapa, baca di mana-mana atau belajar dari mana-mana guru.

Sebagai seorang yang dilatih menggunakan logik sepenuhnya, itulah ujian yang sangat berat buat ku. Saban hari aku mohon Allah beri aku faham. Saban waktu aku merintih mohon Allah beri aku ilham dan tambahkan ilmuku supaya aku dapat menerima. Naluri ku tidak dapat menolak hanya minda ku yang tidak mampu menerima. Aku jadi seperti zombie. Aku jauhkan diri dari semua orang termasuk teman-teman dan keluarga. Aku masuk ke Gua Hira. Aku berserah. Air mata jangan cakap lagi. Setiap solat menitis macam air hujun. Tiada siapa yang mampu faham perasaan ku ketika itu. Seperti yang diajarkan oleh Ust H aku perlu sabar dan tunggu. Aku matikan diri.

Secara sedikit demi sedikit aku diberi kefahaman. Allah datangkan bantuan dalam bentuk yang tidak aku duga dan sangkakan. Bahkan bila aku fikirkan, rasanya tidak mampu aku mengucapkan kesyukuran ku pada Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Penyayang. Biarlah ini menjadi rahsia ku. Tidak wajar aku berkongsi tentang perkara ini.

Jiwa ku kembali tenang. Ku rasakan kebahgiaan yang tidak dapat aku gambarkan. Semoga ianya berkekalan. Aku berkongsi sekadar untuk memberi semangat kepada mereka yang sedang melalui jalan yang sama. Terima kasih kepada Allah s.w.t yang telah menghilangkan kekeliruan.

Semua ilmu yang telah aku belajar dalam kelas makrifah sedang aku aku susun semula. Aku sedang mengkaji dan meniliti bahan-bahan serta rujukan dari luar buat menguatkan hujjah-hujjah secara ilmiah. Aku tahu Allah tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia. Setiap pengalaman yang dilalui mempunyai hikmahnya tersendiri.

Melalui Prof Wan dan Prof Naquib, aku belajar membetulkan konsep ilmu-ilmu lain seperti ilmu pendidikan dan sains. Aku sering berbincang dengan Prof Wan melalui email untuk mendapatkan kepastian tentang konsep-konsep yang telah aku pelajari sebelumnya dan yang telah mencorak minda ku sebelumnya. Alhamdulillah, aku dapat mengesan banyak kekeliruan yang memenuhi minda ku selama ini. Berlaku banyak campur aduk ilmu yang benar dengan ilmu yang sengaja dikelirukan oleh golongan-golongan barat. Aku sedang belajar mengenal dan meletakkannya di tempat yang tepat. Rasanya, tersangat jauh perjalanan yang perlu aku tempuhi untuk menjadi orang yang berilmu.

Melaui Ust Fathul Rahman, aku belajar tentang asas-asas syariat Islam yang benar. Aku belajar usul fiqh dan qawaid fiqqhiah yang menjelaskan tentang kedudukan sesuatu hukum dalam Islam. Baru ku sedar betapa jahilnya aku tentang agama ku sendiri.